Wednesday, February 1, 2012

Kelab Basikal Fixie KFN.21 Tarik Minat Ramai Remaja

Rozi Mamat (bertopi, tengah) bersama sebahagian ahli Kelab Fixie N.21 Telemong yang melakukan kayuhan dari Kampung Kepah ke Dataran Kuala Ping sempena pelancaran kelab itu di Kuala Ping, Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Kelibatnya di atas jalan raya sering menjadi tumpuan kerana warna dan bentuknya yang menjadi tarikan sehingga ia menjadi kegilaan remaja.

Aktiviti berbasikal itu kini cuba dihalakan sebagai satu kegiatan yang sihat dan bermanfaat melalui Kelab Fixie Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong (KFN.21), baru-baru ini.

Penasihat kelab itu, Rozi Mamat berkata, penubuhan KFN.21 bagi menarik remaja untuk beriadah secara berkumpula dan mempromosikan aktiviti rekreasi serta menarik mereka dalam gerak kerja kemasyarakatan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri memberitahu, sempena pelancaran kelab itu, pelbagai aktiviti selama dua hari dilakukan seperti kayuhan fixie melalui beberapa kampung.

"Kemeriahan ini turut disertai oleh 120 peminat fixie dari Kelab Ngayoh Kuala Nerus yang turut menyertai program keluarga angkat di Kampung Kepah dan Kampung Tengkawang selama dua hari.

"Mereka turut terlibat dalam program gotong-royong membersihkan kawasan kampung yang pernah dilanda banjir," katanya pada majlis pelancaran kelab itu di Dataran Kuala Ping, dekat Kuala Berang.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri Ketua UMNO Hulu Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Menurutnya, usaha mengumpulkan peminat-peminat aktiviti berbasikal itu berjaya apabila kini sudah mengumpulkan lebih 300 ahli di bawah KFN.21

"Kebanyakan ahli persatuan ini terdiri daripada pelajar. Setiap petang mereka akan berkumpul di kampung masing-masing untuk melakukan aktiviti bersama-sama," katanya.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment