Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengugurkan sebanyak 42,025 nama yang sebelum ini tersenarai sebagai pemilih berdaftar setelah rekod mereka didapati meragukan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jumlah itu adalah daripada senarai 42,051 nama pemilih berdaftar yang rekodnya meragukan dan dipamerkan suruhanjaya itu sejak November lepas.
Katanya, setelah senarai itu dipamerkan selama dua bulan dan berakhir hari ini, hanya 50 orang atau waris sahaja tampil membuat pengesahan mengenai status rekod pemilih mereka atau warisnya.
Daripada jumlah itu, 27 orang di Kelantan dan 10 daripadanya adalah pemilih aktif, Terengganu (13) dan 10 pemilih aktif, Pahang (empat) dan tiga adalah pemilih aktif, Kedah (tiga) dan seorang daripadanya adalah pemilih aktif, Negeri Sembilan seorang sahaja dan didapati pemilih tidak aktif serta masing-masing seorang pemilih dan disahkan aktif di Perlis dan Selangor.
"Kita telah memberi tempoh yang lama iaitu selama dua bulan atas permintaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (mengenai Penambaikan Proses Pilihan Raya) walaupun pada asalnya senarai itu akan dipamerkan selama sebulan dan sepatutnya berakhir 31 Disember lepas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Talimat Persediaan Pilihan Raya Umum ke-13 kepada Pegawai Pengurus/Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya di Putrajaya.
Abdul Aziz berkata, bagi tempoh suku tahun ketiga tahun lepas, jumlah pemilih berdaftar di seluruh negara kini adalah sebanyak 12,400,437 orang.
Katanya, jumlah rakyat yang berumur 21 tahun ke atas bagi tempoh itu ialah sebanyak 16,131,571 orang dan ini bermakna 3,7341,134 orang atau 23 peratus daripada warga yang layak mengundi masih tidak berdaftar sebagai pemilih.
Berdasarkan pecahan kaum pula, kaum Melayu yang mencapai usia 21 tahun ke atas adalah yang paling ramai tidak mendaftar sebagai pemilih.
Beliau juga meminta pemilih yang berpindah alamat supaya mengambil inisiatif untuk mengemaskinikan rekod dengan melaporkan pertukaran alamat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kemudiannya menghubungi SPR bagi mengelak kekeliruan tempat mengundi kelak.
Katanya, jumlah pemilih di negara ini meningkat kira-kira 300,000 orang pada setiap suku tahun dan jika pilihan raya umum ke-13 diadakan pada Jun tahun ini, jumlah pemilih berdaftar yang digunakan adalah bagi tempoh suku tahun pertama tahun ini.
Mengenai terdapat cadangan agar rakyat Malaysia di luar negara dibenarkan mengundi, beliau berkata, setakat ini Wisma Putra telah menyatakan bahawa mereka tidak sanggup untuk menggendalikan proses mengundi di luar negara.
"Ini kerana jumlah rakyat Malaysia di luar negara adalah ramai dan mereka berada di merata tempat, selain itu SPR juga akan berbincang mengenai takrifan siapakah rakyat Malaysia dan satu garis panduan mengenainya haruslah diwujudkan,” katanya.
Mengenai desakan kerajaan Pulau Pinang yang terus mendesak SPR menggendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri itu, Abdul Aziz berkata beliau telah menjelaskan secara bertulis kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng bahawa SPR tidak mempunyai kuasa berbuat demikian ekoran pemansuhan undang-undang mengenai pilihan raya itu.
Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri ini bebas untuk membuat pilihan raya kerajaan tempatan itu dan mereka boleh menggendalikannya sendiri tanpa penglibatan SPR seperti yang pernah dilakukan oleh sebuah negeri bagi tujuan pemilihan ketua kampung.
No comments:
Post a Comment