Perancangan bagi mengembalikan kegemilangan beca di negeri ini bakal terlaksana berikutan peranan Tourism Malaysia Terengganu bagi menghidupkan pengangkutan warisan itu.
Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Mohd Nasir Kushairi berkata, satu kertas cadangan sudah dihantar ke ibu pejabat di Kuala Lumpur bagi menghidupkan perkhidmatan beca di negeri ini bukan saja dalam konteks pengangkutan, tetapi sebagai tarikan pelancong.
Menurutnya, pelbagai cadangan sudah diatur bagi menghidupkan era kegemilangan beca yang pernah menjadi pengangkutan terpenting di bandar ini satu ketika dulu.
“Kami mencari sebuah beca untuk dibeli dan dihias sebagai model pertama sebelum meluaskannya kepada penarik beca melalui persatuan beca. “Kami juga mencari penaja bagi menaja beca yang kini beroperasi di sekitar bandar raya ini bertujuan mempromosikan pelancongan negeri kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini pihaknya masih belum memperoleh sebuah beca yang akan dijadikan model itu berikutan pengeluarannya sudah tiada dan perlu membeli daripada pengayuh beca yang ingin menjualnya.
Katanya, pihaknya juga meminta kerajaan negeri mewujudkan satu laluan khas bagi kenderaan berbasikal termasuk beca.
Beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri meneliti cadangan itu kerana ia boleh meningkatkan industri pelancongan di negeri ini.
“Sebagai contoh beberapa jalan khas seperti di Pasar Besar Kedai Payang, Masjid Kristal dan Pantai Batu Buruk sekiranya disediakan laluan khas membolehkan bukan saja beca beroperasi membawa penumpang, malah orang ramai juga boleh berbasikal melalui laluan itu.
“Syaratnya ia laluan khas dan kami percaya ia sekali gus boleh menghidupkan semula perkhidmatan beca di negeri ini selain menambah baik kenderaan itu supaya lebih ceria untuk dipromosikan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah, Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri, Muzhida Ruslal berkata, industri beca di negeri ini masih belum popular di kalangan pelancong.
Katanya, penjenamaan semula beca perlu bagi memperkenalkan keunikan beca sebagai aset tarikan di Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment