Monday, February 13, 2012

Kepala Geng Botak Curi Kabel Ditangkap

Anggota polis membawa ketua Geng Botak (tengah) dan anak saudaranya bersama tiga lelaki yang mengedar dadah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk disoal siasat semalam.

Ketua Geng Botak iaitu kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan curi kabel dan motosikal di sekitar daerah ini dan Dungun sejak setahun lalu tumpas apabila dia berjaya ditangkap kelmarin.

Suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan dalam operasi Ops Lejang dan Ops Pintu kelmarin dan semalam di tepi jalan Kampung Durian Kassim dekat sini pada pukul 6 petang.

Dia ditahan bersama seorang lelaki berusia 20-an yang dipercayai anak saudaranya.

Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintenden Mohd. Rosli Mohd. Amir memberitahu, penahanan ketua kumpulan itu adalah hasil daripada tangkapan dua lelaki berusia 36 dan 40 tahun pada 2 Februari lalu yang merupakan ahli kumpulan itu.

“Polis kini sedang mengesan seorang lagi lelaki berusia 20-an yang dipercayai ahli kumpulan ini bagi melumpuhkan sepenuhnya kegiatan kumpulan ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Hulu Terengganu kelmarin.

Sementara itu, jelasnya, dalam operasi itu juga, polis menahan tiga individu kerana terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Kosmo!

No comments:

Post a Comment