Friday, February 10, 2012

Kerajaan Terengganu Sedia Bantu Pelajar Mampu Bertutur Bahasa Asing Jumpa Pakar

Kerajaan Negeri Terengganu sedia membantu Noraini Ismail, 17, gadis yang dikatakan berupaya bertutur dalam pelbagai bahasa asing setelah terlibat dalam kemalangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata kerajaan negeri sedia membawa pelajar Tingkatan Lima jurusan Pendidikan Seni Visual (PSV) Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah itu berjumpa pakar jika dipersetujui keluarganya.

"Apa yang terjadi kepada Noraini merupakan perkara yang jarang berlaku, oleh itu ianya patut diselesaikan oleh mereka yang pakar dalam bidang itu," katanya ketika melawat Noraini di rumahnya di Kampung Gong Medang dekat Kampung Raja semalam.

Dalam kejadian 10 Jan lalu, Noraini yang terbabit dalam kemalangan telah koma selama 11 jam dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan dibenarkan pulang ke rumah tiga hari kemudian.

Pelajar itu sekali lagi dikejarkan ke HUSM pada hari kelima selepas kemalangan setelah tidak mampu bercakap dan mengadu sakit kepala. Semasa rawatan kali kedua itu Noraini tiba-tiba boleh bertutur bahasa asing.

Dr A Rahman berkata sepanjang kariernya sebagai doktor perubatan sebelum menjadi wakil rakyat belum pernah lagi berhadapan dengan kes seumpama itu.

Sementara itu, rombongan dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Besut yang diketuai Pemangku Pegawai Pelajaran Daerah, Ab Halim Hasan yang turut melawat Noraini pagi ini terkejut apabila gadis itu tiba-tiba bertutur dalam bahasa Mandarin dengan mereka.

Ab Halim berkata, Noraini pada ketika itu sedang berbual dengan mereka apabila gadis itu menerima panggilan telefon daripada bapanya.

"Noraini tiba-tiba bertutur dalam bahasa Mandarin selama kira-kira tiga minit," katanya dan memberitahu seorang pegawainya sempat merakam perkara itu menerusi kamera video yang dibawanya.

Ab Halim berkata pihaknya bersetuju melanjutkan cuti selama sehari lagi memandangkan cuti sakit pelajar itu berakhir hari ini.

"Insya-Allah, Noraini akan kembali ke sekolah Ahad ini, kita harap dengan bergaul dengan rakan-rakannya semula di sekolah kemungkinan dia akan pulih semula dan kembali seperti biasa," katanya.

No comments:

Post a Comment