Fatehah (kanan) tetap puas meskipun sekadar memenangi pingat gangsa dalam acara 500 meter ujian masa wanita elit semalam.
Meskipun hanya mampu memenangi pingat gangsa, pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa tetap puas.
Fatehah, 23, menjadi penyumbang pingat kedua buat Malaysia pada saingan hari kedua Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2012 semalam apabila menduduki tempat ketiga dalam acara 500 meter ujian masa wanita elit.
Satu lagi pingat disumbang oleh Mohd. Edrus Yunos yang memenangi emas pertama Malaysia menerusi acara 1 kilometer ujian masa lelaki elit.
Menurut Fatehah, dia tidak kisah meskipun hanya berjaya memenangi gangsa kerana ia dilihat sebagai mengulangi pencapaiannya di ACC 2011 Korat, Thailand tahun lalu.
"Saya tidak kisah sangat memenangi gangsa acara ini kerana bagi saya ia adalah kejayaan yang sama seperti dicatatkan pada edisi di Korat tahun lalu.
"Pelepasan saya pada awal perlumbaan agak baik, namun ketika suku pusingan, kayuhan saya menjadi perlahan.
"Namun, saya tetap bersyukur kerana berjaya mempertahankan pingat ini. Semangat saya hari ini juga agak berbeza daripada semalam (kelmarin), saya rasa jauh lebih bagus hari ini (semalam)," ujarnya lagi.
Fatehah yang turut beraksi pada separuh akhir pecut wanita elit semalam, mencatat 36.394s untuk berada di belakang pelumba Hong Kong, Le Wai Sze (35.32s) yang memenangi emas dan pelumba China, Xu Yu Lei (35.962s) perak.
"Wai Sze memang handal dalam acara ini, malah dia juga menjuarainya pada edisi di Korat tahun lalu, jadi memang sukar untuk mengalahkannya.
"Catatan terbaik saya di velodrom terbuka ialah 36.01s yang dicatat pada penampilan pertama di ACC 2008 di Nara, Jepun, manakala di velodrom tertutup pula ialah 35.05s ketika Sukan Asia 2010 Guangzhou.
"Sasaran memang satu pingat dalam acara ini dan ia berjaya direalisasikan, malah John (Beasley, jurulatih) juga berpuas hati dengan prestasi saya, jadi sudah tentu saya gembira," jelas Fatehah lagi.
Selepas ini, pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu akan memberi tumpuan pada acara keirin dan pecut hari ini.
No comments:
Post a Comment