Thursday, February 9, 2012

MB, Umno Tidak Campur Tangan Sekat Duit Zakat Kepada Pelajar Ke Mesir

Ahmad Said pada sidang media semalam menyifatkan tuduhan bahawa UMNO sekat pemberian zakat kepada pelajar di Mesir sebagai liar dan tidak bertanggungjawab

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said menafikan dakwaan kononnya Umno menyekat pemberian bantuan wang zakat kepada anak-anak Terengganu yang melanjutkan pelajaran ke Mesir.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab, Ahmad Said yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berkata, Umno tidak pernah campur tangan dalam urusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Maidam bukan di bawah kuasa Menteri Besar. Saya tidak pernah sekalipun campur tangan untuk menentukan orang ini layak dan orang ini tidak layak menerima biasiswa ini kerana Maidam mempunyai jawatankuasa, fatwa dan mengikut lapan Asnaf yang layak menerimanya," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau sebelum itu menyaksikan penyampaian zakat perniagaan Maybank Islamic berjumlah RM600,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Muzaffar Hisham kepada Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Wan Harujan Sulaiman.

Pada 26 Jan lepas, Wan Harujan menerima SMS berbunyi : "Umno Terengganu sekat duit zakat kepada pelajar Terengganu di Mesir..........fikirkan".

Ahmad berkata bahawa pada 2008, Maidam telah mengeluarkan zakat berjumlah RM1.37 juta kepada 274 pelajar, 2009 sebanyak RM1.47 juta (313 pelajar), 2010 sebanyak RM1.26 juta (285 Pelajar), 2011 sebanyak RM1.69 juta (286 pelajar) dan tahun ini dijangka sebanyak RM2.11 juta kepada 286 pelajar.

Katanya beliau tidak pernah dimaklumkan siapa yang menerima zakat tersebut dan siapa yang tidak menerimanya kerana tidak pernah meminta senarai penerima daripada Maidam.

Wan Harujan juga menafikan penglibatan Umno dalam bantuan wang zakat kepada pelajar ke Mesir.

"Maidam dalam mesyuaratnya bebas membuat keputusan berlandaskan syariah serta peraturan yang ditetapkan dengan pertimbangan diberi berasaskan kepentingan pengagihan mengikut Asnaf yang layak," katanya.

No comments:

Post a Comment