Pengendali pasukan lumba basikal profesional Terengganu, Terengganu Pro Asia Cycling Team (TPCT) yang menguruskan Terengganu Cycling Team (TSG) menyambung kontrak lapan pelumba tempatan dan tiga pelumba luar negara untuk musim 2012.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pelumba tempatan yang tidak bersama pasukan TSG musim ini ialah Anuar Manan yang berhijrah ke pasukan divisyen dua Champion System yang berpangkalan di Hong Kong.
"Motoi Nara pelumba dari Jepun juga tidak menyertai pasukan TSG musim ini," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pasukan TSG musim 2012 di Kuala Terengganu, malam tadi.
Beliau berkata pelumba tempatan yang akan mewakili TSG tahun ini ialah Mohd Hariff Saleh, Mohd Shahrul Mat Amin (gambar atas kiri), Yusrizal Usoff, Mohammad Saufi Mat Senan, Muhamad Faiz Syarifuddin Abd Kadir, Muhammad Shobry Abdullah, Mohd Nor Umardi Rosli dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki.
Tiga pelumba luar negara yang masih bersama pasukan TSG ialah Shinichi Fukushima (gambar kanan) dari Jepun, Jang Chan Jae dan Kim Do Hyoung dari Korea, katanya.
Ahmad berkata dua pelumba baru yang berasal dari Terengganu untuk memperkuatkan pasukan TSG tahun ini ialah Mohd Zamri Saleh, daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Mohd Saifu Anuar Aziz.
Katanya TPCT telah mengambil jurulatih import berpengalaman dari Itali iaitu Sebastien Ducios bagi memantapkan lagi pasukan TSG menghadapi pelbagai kejohanan musim ini.
Beliau berkata bagi mencapai hasrat memasuki divisyen 2 pro-benua, anggaran sebanyak RM6 juta setahun diperlukan manakala bagi divisyen satu pro-tour lebih kurang RM10 juta diperlukan.
Katanya TSG menyertai 27 kejohanan sepanjang tahun lepas iaitu 13 kejohanan luar negara manakala 14 peringkat tempatan.
Bagi tujuan promosi TSG, Ahmad berkata satu-satunya majalah Bahasa Malaysia iaitu Roda Pantas telah menyediakan satu ruang kepada TSG setiap bulan untuk memuatkan berita dan gambar TSG.
Selain itu, majalah Asia Cycling juga memuatkan berita TSG bagi pasaran Asia, katanya
No comments:
Post a Comment