Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) kesal dengan kenyataan ketua publisiti pilihan raya DAP, Hew Kuan Yau (gambar kiri)yang melabel wartawan sebagai "pelacur".
Setiausaha Agung NUJ, V. Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata, kesatuan itu juga kesal dengan pendirian pengerusi jawatankuasa disiplin DAP Tan Kok Wai yang menyokong dengan menegaskan Hew hanya menyatakan hakikatnya.
Beliau berkata, kenyataan Kuan Yau telah mencemarkan imej semua wartawan yang bekerja dalam media cetak, elektronik dan 'online'.
"Ini tidak adil kerana beliau memberikan label itu pada semua wartawan, kategori orang yang khusus berkhidmat untuk orang ramai dan mengetengahkan isu-isu kepentingan awam," katanya.
Hari ini sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Kuan Yau telah memohon maaf berhubung kontroversi yang timbul berpunca daripada kenyataannya.
Anbalagan berkata, Kuan Yau sepatutnya menyokong kenyataannya itu dengan kes spesifik seperti siapa wartawan itu dan daripada organisasi mana.
"Kuan Yau sepatutnya membuat aduan kepada organisasi terbabit supaya tindakan dapat diambil tanpa mengira wartawan itu adalah seorang eksekutif, petugas biasa, kebanyakannya ialah anggota NUJ, petugas kontrak atau petugas sambilan.
"Kami mendesak pucuk pimpinan DAP mengambil tindakan ke atas Kuan Yau dan Tan kerana sesuatu kebenaran atau fakta mesti disokong dengan bukti dan keterangan.
"Jika tidak, ia berupa dakwaan tidak berasas yang dilemparkan terhadap wartawan dan profesion itu," katanya.
No comments:
Post a Comment