Thursday, February 2, 2012

Parah Ditikam Lelaki Kurang Siuman

Seorang pembantu kedai kain parah selepas ditikam seorang lelaki yang dipercayai kurang siuman dalam satu kejadian amuk di bangunan Paya Keladi, Jalan Kampung Daik di Kuala Terengganu, malam semalam.

Kejadian berlaku pukul 8 malam ketika mangsa, Wan Manisah Wan Mansor, 27, berada di tingkat bawah kedai bersama tiga rakannya.

Tiba-tiba, suspek meluru masuk ke dalam kedai berkenaan dan menuju ke arah mereka.

Saksi kejadian, Siti Aminah Ahmad, 18, ketika ditemui berkata, suspek terus memeluk dan mengheret mangsa ke bahagian depan kedai sambil menghantukkan kepala mangsa di lantai.

"Lelaki itu kemudian mengambil pisau yang dibawanya dan menikam rakan saya dari arah belakang. Saya nampak tikaman itu seolah-olah tembus sampai ke bahagian paru-parunya.

"Saya dan rakan terus berlari ke bahagian belakang kedai untuk minta bantuan dan apabila kami kembali, lelaki itu sudah melarikan diri," katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu malam tadi.

Menurutnya, mangsa yang kesakitan pergi ke bahagian belakang kedai dan pengsan di situ sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Durian Mas, Dungun itu kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Unit Kecemasan HSNZ.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian tersebut.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment