Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Marang dijangka memperolehi hasil pertama projek tanaman kelapa sawit di Bukit Tebuang, Kampung Jenang Marang, tahun ini.
Pengurus Besarnya, Ahmad Anuar Abdullah berkata, 50 peratus daripada 1,110 pokok kelapa sawit yang melibatkan kawasan seluas 7.5 hektar sudah pun mengeluarkan buah.
"Sebanyak 50 peratus lagi dijangka mengeluarkan buah tahun depan," katanya.
Beliau berkata, penuaian buah sawit pertama yang akan dilakukan pertengahan tahun ini dijangka memberi hasil lebih 50 tan metrik yang dianggarkan bernilai lebih RM30,000.
Projek itu, ujarnya, melibatkan unit peladang Kampung Barat, Kampung Tok Fakir, Kampung Jenang, Kampung Pengkalan Berangan dan Kampung Bukit Baru, yang melibatkan 40 peserta.
Katanya lagi, memandangkan potensi kelapa sawit yang begitu baik pada masa depan, PPK Marang telah memohon tanah seluas 17 hektar dari kerajaan negeri berhampiran projek sedia ada untuk di tanam kelapa sawit.
“Kawasan itu sekarang ini terbiar dan tidak bertanam, boleh menjadi aset kekal kepada PPK Marang pada masa akan datang sekiranya kerajaan meluluskan tanah itu kepada PPK.
“Tanah itu akan ditanam sebaik sahaja kelulusan kerajaan atau Pejabat Daerah
Marang diperolehi”, katanya.
Ahmad Anuar berkata, sebanyak RM60,000 dibelanjakan untuk membersih tanah dan kawasan sebelum projek itu dimulakan pada 2009 dan sehingga kini jumlah kos keseluruhan meningkat kepada RM120,000.
Menurut beliau, PPK Marang tidak mempunyai masalah dari segi pemasaran buah kelapa sawit kerana mereka boleh memasarkannya melalui Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) sebagai badan induk PPK.
Beliau berkata, hasil projek itu nanti akan diagih-agihkan kepada para peserta dalam bentuk dividen berdasarkan saham masing-masing dalam PPK.
No comments:
Post a Comment