Seorang pelajar perempuan yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima padah apabila dia didenda maksimum RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof menjatuhkan hukuman tersebut selepas beliau berpuas hati terhadap pengakuan salah tertuduh kerana melakukan persediaan melakukan persetubuhan luar nikah dengan seorang lelaki yang bukan suaminya.
Mohd Nazri turut memerintahkan perempuan berumur 18 tahun itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh ditangkap bersama lelaki sebayanya di dalam sebuah Perodua Kembara dalam semak di tepi lebuh raya Kampung Padang Luas pada jam 1.05 tengah hari, 24 Disember tahun lalu.
Ketika ditangkap tertuduh baru selesai menduduki peperiksaan SPM di sebuah sekolah menengah manakala pasangannya beralamat di kampung sama tidak bekerja.
Dia dituduh mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Enakman Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) 2001 Terengganu yang boleh dihukum di bawah seksyen sama iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.
Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, bertindak atas maklumat, penguat kuasa syariah melakukan rondaan dan tinjauan di sekitar kawasan lebuh raya Kampung Padang Luas (menghala ke Lata Tembakah) dan melihat sebuah kereta Perodua Kembara yang diletakkan dalam semak berhampiran kebun getah.
Setelah menghampiri kereta itu, penguat kuasa mendapati tidak kelihatan orang di dalamnya tetapi manakala semua pintu dan cermin tertutup rapat serta enjin dan pendingin hawa dihidupkan.
Penguat kuasa merapati kenderaan tersebut melalui pintu sebelah kanan pemandu dan mendapati kedua-dua kerusi hadapan direbahkan sepenuhnya. Nik Mohd Shahrul Irwan memberitahu mahkamah lagi, penguat kuasa bertindak mengetuk cermin dan membuka pintu menyebabkan mereka terkejut dan gelisah.
Lelaki ketika memakai baju T dan tanpa memakai seluar manakala tertuduh perempuan memakai baju T lengan panjang tanpa memakai seluar dan tudung.
Sehelai seluar dalam dan seluar trek yang dijadikan barang kes milik perempuan turut dibawa ke mahkamah untuk pengesahan.
Perempuan terbabit menangis ketika berada dalam kandang tertuduh apabila Mohd Nazri menegur perbuatannya yang telah melukakan hati ibu bapanya. Dia hadir ke mahkamah dengan ditemani abangnya.
Pasangannya pula turut dijatuhkan hukuman yang sama dalam perbicaraan berasingan pada minggu lalu.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment