Beberapa pelumba termasuk pelumba negara terlibat dalam kemalangan semasa saingan perlumbaan LTDL 2012 peringkat ketiga dari Melaka ke Parit Sulong, Johor.
Pada ketika Anuar Manan (Champion System) sudah mula menaiki podium, hasrat Mohd. Harrif Salleh untuk menyerlah di peringkat ketiga dari Melaka ke Parit Sulong tidak menjadi kenyataan.
Ia tidak kesampaian selepas pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) itu terlibat dalam kemalangan tiga kilometer menuju garisan penamat, semalam.
Harrif berharap kekecewaan tersebut dapat ditebus pada peringkat keempat dari Batu Pahat ke Muar hari ini dalam masa yang sama badannya kembali cergas dan tidak mengalami sebarang kesakitan.
Abangnya Zamri berkata, pada 20 kilometer terakhir dia dan Harrif mengumpul tenaga secukupnya dalam peloton untuk berhempas pulas di peringkat akhir perlumbaan, namun berlaku kemalangan yang melibatkan adiknya itu.
"Selepas Harrif terjatuh saya mengambil keputusan untuk meluru ke depan bagi mendapatkan tempat yang lebih baik buat TSG dan diri saya sendiri.
"Saya rasa jika dia tidak jatuh mungkin tidak ada masalah untuk saya membantunya menduduki tempat yang baik.
"Saya akui perlumbaan pada tahun ini memang laju, berbeza dengan dua tahun sebelum ini tetapi kami tidak putus asa dan akan terus mencuba pada peringkat keempat esok (hari ini)," katanya yang menganggarkan purata kayuhan tahun ini sekitar 55 hingga 58 kilometer sejam.
Semalam, Zamri mempamer kayuhan konsisten menamatkan saingan di tempat ke-15, untuk menjadi pelumba kedua terbaik Malaysia di belakang Anuar Manan dan pelumba terbaik TSG.
Di peringkat kedua dari Putrajaya ke Melaka kelmarin, Zamri menamatkan kayuhan di tempat ke-10 dan pelumba terbaik TSG.
Menurut Harrif, sebelum kemalangan berlaku kelajuan yang dicatatkan peloton pada ketika itu mencecah 70 kilometer sejam, namun tiga kilometer menuju ke garisan penamat nasibnya kurang baik apabila terjatuh.
"Ketika itu memang saya bersungguh-sungguh untuk menamatkan perlumbaan pada tempat yang lebih baik atau menaiki podium, namun nasib saya kurang baik kerana handle basikal saya berlanggar dengan pelumba Garmin Barracuda.
"Saya melambung ke rumput di tepi jalan, namun saya bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan teruk hanya luka di bahagian tapak tangan dan kaki kanan sahaja," kata pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu.
No comments:
Post a Comment