Monday, February 27, 2012
JAIP Bertindak Atas Aduan Suami Wanita Terbabit - Ghazali
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menafikan dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron (gambar kiri) yang ditangkap khalwat semalam bahawa tangkapan itu adalah 'komplot terancang' daripada pejabat agama itu.
Timbalan Pengarahnya, Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz menegaskan, tindakan tersebut dibuat atas aduan daripada suami wanita terbabit yang menghubungi penguat kuasa JAIP supaya datang ke hotel itu kerana didapati isterinya bersama dengan lelaki lain.
"JAIP tidak pernah merancang atau berkomplot untuk membuat tangkapan terhadap kedua-dua individu terbabit.
"Lagipun sebarang tangkapan dibuat atas aduan orang ramai. Perkara seperti merancang atau komplot tidak pernah terjadi dalam tangkapan sebelum ini kerana JAIP mempunyai prosedur yang ditetapkan," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuantan semalam.
Beberapa akhbar semalam melaporkan, seorang pemimpin PKR Selangor ditangkap khalwat bersama seorang wanita berstatus isteri di sebuah hotel di Balok kelmarin (Sabtu).
Beliau ditangkap bersama pasangannya oleh suami kepada wanita tersebut yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah institut kemahiran di negeri ini.
Suami kepada wanita itu kemudiannya menghubungi penguatkuasa JAIP yang datang ke bilik hotel itu kira-kira pukul 3 pagi.
Mohd. Ghazali berkata, panggilan yang dibuat oleh orang ramai diibaratkan seperti menghubungi bomba jika berlaku kebakaran atau kecemasan.
"Begitu juga dengan JAIP jika dihubungi orang ramai sekiranya terdapat kes khalwat, kami akan bertindak atas aduan itu," katanya.
Sementara itu, Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor semalam mengarahkan Dr. Badrulamin sebagai Pengarah Penerangan mengambil cuti selama sebulan sehingga nama beliau dibersihkan daripada tuduhan khalwat dengan isteri orang di Pahang itu.
Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar dalam kenyataannya berkata, cuti rehat berkenaan bertujuan membolehkan Badrulamin melakukan kerja-kerja membersihkan nama beliau.
“Kerajaan negeri berharap cuti tersebut akan digunakan untuk menumpu perhatian kepada musibah yang sedang ditanggung oleh beliau,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri telah menerima penjelasan Badrulamin berhubung kejadian tersebut dan mendesak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan siasatan secara telus, adil dan profesional.
Langkah itu menurut sekretariat tersebut, bertujuan menjaga maruah Badrulamin sebagai Muslim sebagaimana yang dituntut dalam Islam.
Menurut sekretariat itu, sepanjang tempoh cuti tersebut, segala tugas Badrulamin sebagai Ketua Penerangan Selangor akan diambil alih sementara waktu oleh pihaknya yang diketuai Setiausaha Akhbar Menteri Besar.
Dalam pada itu, katanya, JAIP akan memanggil semula Badrulamin yang didakwa berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri itu.
Katanya, pemimpin dan wanita itu dijangka hadir ke pejabat JAIP kira-kira pukul 9 pagi ini bagi melengkapkan siasatan berhubung kes tersebut.
"Ia adalah prosedur biasa bagi memudahkan kelancaran pihak kami menjalankan siasatan kes tersebut," katanya.
Mohd. Ghazali berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.
No comments:
Post a Comment