Pemain tengah pasukan T-Team, Tengku Hasbullah Raja Hassan dimasukkan ke hospital Kuala Terengganu Specialist (KTS) semalam setelah pengsan secara tiba-tiba selepas sesi latihan.
Tengku Hassbullah ketika ditemui pemberita di hospital berkata kejadian berlaku kira-kira 6 petang selepas selesai sesi latihan ringan di padang Majlis Sukan Negeri (MSN) di sini.
Katanya, ketika berjalan menuju kereta untuk pulang, beliau terasa pening dan terjatuh sebelum dikejarkan ke KTS oleh anggota Jabatan Pertahan Awam (JPAM).
"Selesai latihan, saya berendam dalam ais kira-kira 10 minit dan semasa berjalan keluar tiba-tiba terasa pening sebelum pitam," katanya.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata ini kali pertama dia mengalami keadaan demikian dan hasil pemeriksaan doktor mendapati kekurangan air dalam badannya.
Tengku Hasbullah dilihat berkeadaan lemah namun stabil dan memerlukan rehat yang cukup. Beliau tidak dapat meneruskan aksi dalam perlawanan menentang Felda United malam esok.
"Sedikit terkilan tidak dapat beraksi bersama rakan yang lain, tetapi tetap bersemangat untuk menghabiskan baki dua lagi perlawanan selepas ini namun keadaan nampaknya tidak mengizinkan," katanya.
Pengurus pasukan T-Team Rozi Mamat berkata keadaan pemain itu tidak membimbangkan dan kesihatannya kini dalam keadaan stabil dan pihaknya sentiasa mengambil berat dan menjaga kebajikan para pemain.
"Kita akan bantu dan pantau keadaan dari semasa ke semasa dan mengawasi keperluan pemain," katanya.
No comments:
Post a Comment