Tuesday, February 14, 2012

RM108 Juta Naik Taraf Jalan Di Terengganu

Menteri Besar ketika melawat Hulu Terengganu bersama pegawai kelmarin.

Sebanyak RM108 juta disediakan oleh kerajaan Terengganu untuk membaiki dan menaik taraf jalan di negeri ini pada tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Beliau berkata, peruntukan tersebut akan diagihkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pejabat daerah.

"Tahun lepas kita membelanja RM100 juta untuk membaiki dan menaik taraf jalan di negeri ini," katanya dengan menambah peruntukan itu tidak termasuk bagi tujuan perparitan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pekan Kuala Ping dekat Kuala Berang akan dijadikan pusat pertumbuhan desa kerana ia adalah pintu masuk ke Tasik Kenyir yang dalam proses dijadikan tasik bebas cukai.

Ahmad Said berkata, kerajaan akan membina hotel dan pusat perkedaian di Kuala Ping untuk menampung permintaan pelancong-pelancong yang akan ke Tasik Kenyir nanti.

Katanya, rancangan menjadikan tasik itu sebagai kawasan bebas cukai secara tidak langsung akan dapat menjana pendapatan penduduk sekitarnya.

Beliau berkata, kerja-kerja melibatkan pembinaan jeti utama di Pulau Bayas dan juga pusat membeli-belah di Tasik Kenyir akan dilaksanakan selewat-lewatnya April ini.

Selain itu, Ahmad berkata, Ajil juga akan merupakan satu lagi pusat pertumbuhan baru di Kuala Berang yang bakal menjadi pintu masuk ke Lebuhraya Pantai Timur (LPT) selain menjadi laluan ke Tasik Kenyir.

"Kita akan mewujudkan pusat-pusat pertumbuhan baru dan sedang menanam cerucuk untuk beberapa projek kedai di pekan Ajil," katanya.

Beliau menyatakannya selepas melawat daerah Hulu Terengganu kelmarin.

No comments:

Post a Comment