Saturday, February 18, 2012

Pemuda UMNO Terengganu Yakin BN Kekal Memerintah Selepas PRU ke 13

Pemuda UMNO Terengganu yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan negeri Terengganu daripada jatuh ke tangan pembangkang berikutan rakyat mula mempercayai apa yang dilaksanakan parti itu.

Ketuanya, Saiful Bahari Baharuddin berkata, semua jentera parti di 32 Dewan Undangan Negeri sudah lama menyusun gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, dalam bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Semangat, gerak kerja dan usaha berterusan penting tetapi antara perkara penting yang perlu dilakukan segera ialah mendaftar pengundi.

Exco Keahlian Pergerakan Pemuda Umno Hishamuddin Yahaya berkata di Kuala Lumpur semalam, sikap tunggu dan lihat menjadi satu punca mengapa kira-kira 40,000 anggota Pergerakan Pemuda Umno yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi.

Katanya, kebimbangan dan sikap teragak-agak muncul di kalangan mereka yang belum menjadi pemilih, termasuklah was-was sama ada dapat mengundi atau tidak pada pilihan raya akan datang walaupun sudah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Memang kita akui pendaftaran di kalangan anggota Pemuda Umno sekarang agak perlahan. Mereka masih ragu-ragu sama ada sempat mengundi atau tidak dalam pilihan raya umum yang sudah dekat ini," katanya semalam.

Beliau berkata terdapat kira-kira 700,000 anggota Pemuda Umno dan hanya 40,000 daripada jumlah itu yang belum mendaftar.

Hishamuddin berkata pada tahun lepas, kira-kira 100,000 anggota pergerakan sudah didaftarkan atas usaha semua peringkat, terutama di bahagian-bahagian yang menjelaskan peri pentingnya menjadi pengundi dan bukan hanya menjadi anggota parti.

Justeru, katanya, semua Ketua Pemuda Umno Bahagian diingatkan supaya mendaftarkan anggota di peringkat masing-masing untuk menambah bilangan pengundi, sekali gus kekuatan parti.

"Kita mengingatkan mereka tidak kira bila pilihan raya umum akan diadakan pada Mac atau Jun atau Disember ataupun tahun depan, yang pentingnya semua bahagian perlu memainkan peranan masing-masing untuk mendaftarkan anggota Pemuda sebagai pengundi," katanya.

Beliau berkata dalam hal pendaftaran pengundi, bukan parti politik sahaja yang perlu memberikan kerjasama mendaftarkan pengundi tetapi juga usaha oleh pertubuhan bukan kerajaan dan SPR sendiri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan kira-kira 28 peratus atau 4.39 juta penduduk negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak bergelar pengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih sehingga akhir tahun lepas, dengan 65 peratus daripada mereka adalah Bumiputera.

Sehingga akhir tahun lalu, jumlah pengundi berdaftar di negara ini ialah seramai 11.08 juta orang, berbanding jumlah keseluruhan mereka yang berumur 21 tahun ke atas adalah 15.47 juta orang.

Pada 8 Feb lepas, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendedahkan hampir 400,000 anggota Umno belum mendaftar sebagai pengundi.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, kata beliau, pihaknya kini menjalankan gerakan khas di peringkat Ibu Pejabat Umno untuk mengesan anggota yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Namun di sebalik itu Saiful Bahari menjelaskan, Pemuda Umno kini sedang giat menggempur di seluruh kawasan bagi mengesan setiap masalah rakyat, selain menyakinkan bahawa Umno dan BN adalah parti yang mampu membela nasib rakyat.

“Kita atur gerak kerja mengikut peti undi. Dengan bantuan Ketua-ketua Bahagian setiap kawasan, kita berjumpa dengan rakyat hingga ke akar umbi. Kita mahu mendengar keluhan mereka dan cuba menghulurkan bantuan apa yang termampu.

“Selain itu, kita juga sentiasa mengutamakan daftar pengundi bagi memastikan bilangan pengundi baru pro BN sentiasa bertambah dan ianya sudah pasti membantu kita untuk kekal mentadbir Terengganu,” ujarnya.

Katanya, pembangkang sering menabur fitnah terhadap Umno dan ini membuatkan rakyat keliru. Tugas kita adalah menerangkan kepada rakyat kedudukan sebenar.

“Kita tidak mahu rakyat terus tertipu dengan pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja asalkan dapat berkuasa. Selepas itu, nasib rakyat tidak akan dibela. Sejak BN mentadbir negeri Terengganu, dapat dilihat hidup rakyat semakin selesa.

“Selaku sayap, kita akan membantu sebaik mungkin untuk memastikan Umno dan BN sentiasa menjadi pilihan rakyat. Walau apapun yang pembangkang fitnah, kita akan terus menyakinkan rakyat Terengganu bahawa kita adalah yang terbaik,” katanya.

Sumber - Teganukita & Bernama

1 comment: