Juara Piala FA musim lepas, Terengganu tidak akan mengambil risiko atau memandang rendah apabila bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam perlawanan pembukaan Piala FA di tempat sendiri malam ini.
T-Team yang akan bertandan ke Pasir Gudang pula tidak mahu badi kalah pada perlawanan pertama berulang.
Musim lepas, T-Team kalah dengan sepakan penalti dengan Kelantan yang akhirnya Kelantan bertemu Terengganu pada perlawanan akhir.
Bagaimanapun, T-Team akan turun sebagai pasukan bukan pilihan apabila bertemu Johor FC dalam perlawanan saingan kalah mati Piala FA itu di Stadium Pasir Gudang.
Jurulatih pasukan itu, Yunus Alif enggan mendabik dada dengan keupayaan anak buahnya dan menganggap Johor FC merupakan pasukan hebat selain mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.
"Kita hormati dan tidak boleh memandang rendah keupayaan pasukan itu terutamanya dalam perlawanan kalah mati ini,” katanya di Kuala Terengganu, kelmarin.
Berharap anak buahnya memenangi perlawanan pertama itu bagi menghidupkan peluang dalam perlawanan seterusnya, beliau berkata, T-Team akan turun habis-habisan dangan barisan pemain berpengalaman yang diketuai bekas penjaga gol kebangsaan Syamsuri Mustafa.
Yunus akan mempertaruhkan Mohd Faiz Subri, peledak berbisa untuk mengepalai jentera serangan dan dibantu bekas pemain Selangor Fadli Saari (gambar kiri).
Mohd Faiz menjaringkan dua gol ketika T-Team bertemu Felda United di Stadium Hang Jebat Melaka Selasa lepas.
Yunus yakin prestasi pasukan T-Team kini dalam keadaan memberangsangkan dan diharapkan momentum positif itu terus dikekalkan ketika menentang Johor FC nanti.
Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris menagih persembahan terbaik daripada anak buahnya agar misi untuk melangkah ke pusingan seterusnya menjadi kenyataan.
"Kita tidak sekali-kali boleh pandang remeh terhadap pasukan lawan ini. Kalau silap percaturan, kita boleh keluar awal.
"Saya tidak mahu macam itu kerana saingan Piala FA adalah perlawanan kalah mati. Saya mahu mereka (pemain) sentiasa waspada," katanya.
Perak kini menunggu untuk bertemu pemenang perlawanan antara Terengganu dan PDRM pada pusingan kedua selepas berjaya mengetepikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 dalam saingan pusingan pertama Piala FA di Stadium Perak, Ipoh malam semalam.
Gol tunggal perlawanan dicipta oleh pemain import Perak, Michal Kubala seawal minit ke-3 melalui situasi sepakan percuma dari jarak 25 meter.
No comments:
Post a Comment