Rentak perjuangan Kelantan untuk memungut mata tidak semudah yang disangka apabila mereka dijangka turun berdepan musuh tradisi, Terengganu malam ini.
Namun bagi Kelantan, selepas kempunan memungut mata penuh ketika bertandang ke Kota Kinabalu (Rabu lalu), skuad The Red Warriors berpeluang mengatasi kekecewaan itu di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
Namun, apa yang pasti pertembungan dua gergasi Pantai Timur yang sentiasa menjadi tumpuan sejak sekian lama bakal membuktikan siapa lebih jaguh.
Bagaimanapun Kelantan tertekan kerana lawan mereka selepas ini adalah Selangor yang juga berharap menduduki tangga lebih baik.
Berikutan itu, Terengganu dan Kelantan memerlukan mata penuh selepas hanya dipisahkan dengan satu mata dan masing-masingnya menghuni tangga kedua dan ketiga liga ketika ini.
Kehadiran penyerang import Terengganu, Francis Doe Forkey (gambar kiri) yang bergandingan bersama Abdul Manaf Mamat (gambar kanan) dan Ashaari Samsudin pastinya diberi perhatian oleh benteng pertahanan Kelantan.
Terengganu juga mempunyai pemain yang seimbang di segenap posisi terutama dua pemain kebangsaan di benteng pertahanan, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim tanpa berselindung mahu semua pemain Kelantan fokus serta memberikan persembahan yang terbaik dalam misi utama untuk merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga daripada pasukan Perak.
Menurutnya, pertembungan kali ini juga membawa misi menebus maruah selepas Kelantan tewas dalam perlawanan Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia musim lalu.
“Pemain perlu ingat, kita turun dengan misi melangsaikan hutang lalu. Biarpun ia sekadar tiga mata bukannya perlawanan merebut piala, namun kita tidak boleh tewas, terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri.
“Muhammad Ghaddar dan Shakir Shaari mengalami sedikit kecederaan dan kita harap kedua-dua mereka mampu pulih dalam tempoh terdekat dan boleh diturunkan malam esok (malam ini).
“Kita juga mengharapkan sentuhan Ghaddar akan lebih kemas dan mengharapkan gandingannya dengan Norshahrul Idlan Talaha mampu memusnahkan gawang lawan,” ujarnya.
Kelantan menganggap Terengganu sebuah pasukan yang hebat dan mantap di semua posisi namun yakin pemain menyedari perkara tersebut.
“Justeru, mereka perlu berusaha untuk membenam cabaran Terengganu kali ini,” katanya.
Beliau juga menaruh harapan supaya pemain import yang beraksi di posisi pertahanan, Obinna Nwaneri dapat beraksi dengan baik dan memberikan impak kepada pasukan selain mampu menyaingi kelincahan Forkey Doe.
Sementara Selangor tidak lagi boleh keciciran tiga mata berharga.
Ini kerana jika skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim benar-benar berhajat mahu menjulang Liga Super musim ini, ada baiknya mereka kembali bangkit mencatatkan kemenangan ketika berdepan cabaran Selangor PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Sudah pasti, masalah ketumpulan jentera serangan Merah Kuning menjadi agenda utama yang bermain di fikiran Irfan supaya dapat mengejar Perak yang kini cukup selesa menerajui liga dengan 15 mata.
Selain itu, masalah 'tidak tahu hujung pangkal' berhubung Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) yang mengekang penyerang import dari Croatia, Bosko Balaban (gambar kanan) daripada menyarung jersi Selangor setakat ini juga perlu segera 'ditebus' oleh tidak kira mana-mana penyerang tempatan yang diturunkan Irfan malam ini.
Baik Amri Yahyah, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal, Fitri Shazwan mahupun Azidan Sarudin, masing-masing perlu melunaskan tanggungjawab merobek gawang PKNS jika tidak mahu berterusan berputih mata.
Selangor ketika ini mengutip sembilan mata, empat mata di depan anak buah Abdul Rahman Ibrahim yang ketika ini masih bergelut di kelompok bawahan liga apabila sekadar mengutip lima mata.
Selepas menentang PKNS, Selangor bakal melayan kunjungan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa depan.
No comments:
Post a Comment