Saturday, February 11, 2012

Sultan Mizan Rasmi Masjid Al-Mustaqim

Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu semalam.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam berangkat merasmikan Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuroh di sini sebelum bersama penduduk setempat menunaikan solat Jumaat.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; Mufti negeri, Datuk Dr. Alias Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat serta Ahli Dewan Undangan Negeri Tepoh, Muhammad Ramli Nuh.

Semasa bertitah, baginda menyeru seluruh rakyat supaya mengimarahkan masjid manakala jawatankuasa dan para pegawai institusi itu perlu mencari jalan terbaik agar masjid sentiasa didekati.

Baginda juga mahukan ahli jawatankuasa dan pegawai masjid memperluaskan peranan mereka dengan turun padang mendekati anak mukim.

"Tindakan ini secara tidak langsung dapat menerapkan kasih sayang dan nilai tambah yang cukup berkesan bagi menarik minat anak mukim ke masjid pada setiap masa dan bukan hanya pada hari Jumaat," titah baginda.

Masjid Al-Mustaqim yang dibina semula dengan kos RM1.8 juta itu mampu memuatkan kira-kira 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Pada majlis yang sama juga, Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan tauliah kepada 32 imam dan jurunikah dari daerah itu.

Turut menerima tauliah daripada baginda ialah 10 orang pegawai agama termasuk Ketua Pendaftar, Timbalan Pendaftar serta Pendaftar Bahagian Nikah, Cerai dan Rujuk.

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment