Sunday, February 19, 2012

Piala FA - Terengganu, T-Team, Kelantan & Selangor Mara, NS Berputih Mata

Norshahrul Idlan Talaha terjatuh akibat diasak pemain pertahanan Sarawak dalam perlawanan Piala FA di Stadium Sultan Mohammad IV , Kota Bharu semalam.

Penyandang juara, Terengganu, naib juara tahun lalu, Kelantan serta juara lima kali, Selangor mara ke pusingan seterusnya Piala FA semalam, manakala T-Team turut layak dengan menundukkan Johor 2-0.

Terengganu, yang juga juara Piala FA sebanyak dua kali iaitu pada 2000 dan 2011, mara selepas mencatatkan kemenangan selesa, 4-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Empat gol pasukan tuan rumah dihasilkan oleh Abdul Hadi Yahya pada minit kesembilan, Abdul Manaf Mamat (minit ke-37 dan 65) (gambar kiri) dan penyerang import mereka dari Liberia Francis Forkey Doe pada minit ke-79.

Terengganu bagaimanapun bakal berhadapan tugas getir pada pusingan kedua 10 Mac ini apabila dijadualkan bertemu dengan Perak yang mengalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Perak, kelmarin.

Pasukan The Red Warriors menjaringkan gol kedua pada waktu kecederaan separuh masa kedua untuk menewaskan Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam tadi.
Kemenangan 2-1 ke atas Sarawak membolehkan Kelantan mara ke pusingan kedua persaingan Piala FA.

Pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Mohd Azizan Baba pada minit ke-18 sebelum Indra Putra Mahayuddin dan Nor Farhan Mohamad menyumbat dua gol untuk Kelantan pada minit ke-34 dan 91.

Menanti skuad Kijang pada pusingan kedua ialah Kuala Lumpur yang membenam cabaran wakil dari Johor, MP Muar dengan kemenangan 3-0 menerusi jaringan Arman Fareez Mohd Ali (minit ke-40), Khairul Anuar Shafie (60) dan Fazuan Abdullah pada minit ke-89 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Selangor nyata bukan tandingan Shahzan Muda apabila dua jaringan Safiq Rahim (minit ke-66, 74), penyerang import, Basko Balaban (25) dan gol ke-100 ketua pasukan, Amri Yahya pada minit ke-82 membantu mereka menang besar 4-0.

Bagaimanapun hajat Negeri Sembilan untuk meneruskan kemaraan ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas kalah 1-2 kepada Johor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Pemain import dari Cameroon Jean Emmanuel Effa Owona terlebih dahulu menceriakan pasukan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-24 sebelum pemain import dari Brazil Arthur Henrique Bernhardt menjadi wira pasukan Johor FC dengan menyumbat dua gol pada minit ke-29 dan 79.

Lions XII (Singapura) dan Preach Khan Reach dari Kemboja meneruskan saingan ke pusingan kedua.

Lions XII menjinakkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) 3-0 di Stadium UiTM, Shah Alam untuk bertemu Betaria FC yang menumpaskan Melaka 4-0, manakala Preach Khan Reach menang tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk menempah pertemuan dengan Kuala Lumpur SPA yang menewaskan MBJB FC 3-0.

Di Stadium Utama, Kangar, Perlis selesa menumpaskan SDM Kepala Batas 3-0.

Sumber - Mingguan Malaysia & Sinar Harian

No comments:

Post a Comment