Polis mencadangkan agar Peguam Negara mendakwa Pengerusi Eksekutif Pusat Fidlot Nasional (NFC) Datuk Dr Mohamed Salleh Ismail atas pertuduhan pecah amanah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata cadangan itu terkandung dalam kertas siasatan yang sedang disiapkan polis, setelah dikembalikan pihak Peguam Negara Selasa lepas bagi menyiasat beberapa perkara lain.
"Kita ada menyelitkan cadangan ini agar pihak Peguam Negara mengambil tindakan itu. Kertas siasatan ini akan dikembalikan dalam masa terdekat," katanya semalam.
Isu NFC, yang diterajui Mohamad Salleh, suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lalu menyatakan pusat itu gagal memenuhi matlamat penubuhannya.
Ia semakin panas selepas pembangkang mendakwa wujud penyelewengan terhadap peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.
NFC ialah projek 'Lembah Daging' di Gemas, Negeri Sembilan yang bertujuan meningkatkan pengeluaran daging tempatan serta mengurangkan pergantungan negara terhadap daging import.
No comments:
Post a Comment