Perlumbaan peringkat kedua kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 semalam serba tidak menjadi bagi pelumba Terengganu Pro Asia (TSG) Mohd. Harrif Salleh.
Pada saingan yang bermula dari Putrajaya ke Melaka sejauh 151 kilometer itu, Harrif masih gagal mempamerkan kayuhan cemerlangnya apabila hanya mampu menamatkan cabaran di tempat ke-16 dalam kelompok besar pelumba hadapan.
Pelumba kelahiran Terengganu itu jelas sekali gagal menyembunyikan perasaan kecewanya meskipun ditenteramkan oleh ibunya, Esah Abdullah sebaik sahaja tamat perlumbaan semalam.
"Saya rasa amat kecewa sekali pada perlumbaan hari ini (semalam). Saya tidak tahu kenapa semua strategi saya serba tidak menjadi.
"Saingan hari ini (semalm) sangat sukar dan sasaran saya untuk mengutip mata di zon pecutan juga tidak berjaya.
"Malah, saya juga cepat berasa letih hari ini selepas terpaksa mengejar peloton hadapan yang melakukan breakaway lebih awal di Kilometer 30.
"Pelumba Astana juga banyak mengawal perlumbaan. Meskipun di laluan yang sempit, mereka tetap cuba menguasainya, sekali gus menyebabkan saya tiada peluang untuk meloloskan diri," kata Harrif selepas tamat perlumbaan semalam.
Para pelumba Le Tour de Langkawi berada dalam kelompok besar ketika mereka tiba di bandar Melaka pada persaingan peringkat kedua dari Putrajaya ke bandar raya itu sejauh 151Km, di Melaka.
Sementara itu, strategi skuad kebangsaan Malaysia pula lebih banyak menyaksikan pelumba pecut mereka mengerah segala keringat sepanjang saingan dengan pelumba pendaki hanya melakukan henjutan pada saat-saat akhir perlumbaan.
Strategi tersebut adalah idea jurulatihnya, Syed Muhammad Hussaini Syed Mazlan yang menggunakan kudrat pelumba pecut seperti Suhardi Hassan, Ahmad Fallanie Ali dan Mohd. Nur Rizuan Zainal untuk mengutip mata di zon pecutan.
"Saya rasa, prestasi mereka sangat baik dan saya masih berpuas hati dengan kesungguhan yang mereka tunjukkan.
"Pada perjumpaan semalam (kelmarin), saya telah menasihatkan mereka agar memberi ruang kepada pelumba pecut, manakala Amir Mustafa Rusli, Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi dan Mohd. Rauf Nur Misbah perlu menyimpan tenaga secukupnya pada laluan yang lebih berbukit," kata- nya.
Pencapaian terbaik pelumba skuad kebangsaan Malaysia hadir menerusi Amir Mustafa yang menamatkan saingan di tempat ke-57, diikuti Suhardi (58), Rauf (65), Fauzan (77), Rizuan (84) dan Fallanie (102).
Bagaimanapun, lebih mencuri tumpuan pada saingan kali ini ialah Nor Rizuan yang ber- jaya meraih lima mata selepas muncul sebagai pelumba ketiga tiba di zon pecutan pertama di Salak Tinggi dan mengulanginya sekali lagi di zon pecutan kedua di Port Dickson, manakala di zon pecutan ketiga di Masjid Tanah, dia menduduki tempat keempat terpantas.
Sementara itu, pelumba berbasikal lebuh raya negara, Anuar Manan mengharapkan masalah komunikasi di antara rakan sepasukan tidak berulang bagi membolehkan pasukannya, Champion System memenangi perlumbaan peringkat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012.
"Saya sudah melakukan yang terbaik. Kalau kami dapat berkerjasama dengan baik mungkin akan dapat keputusan yang baik juga," kata pelumba berusia 25 tahun dari Kuala Ibai, Terengganu itu, ketika ditemui selepas perlumbaan pada Sabtu.
Pada perlumbaan peringkat kedua LTdL dari Putrajaya ke Dataran Pahlawan, Melaka, yang melibatkan jarak sejauh 151 km, Anuar menjadi pelumba terbaik Malaysia pada perlumbaan itu.
Beliau menamatkan saingan di tempat keempat, yang mana perlumbaan itu dimenangi pelumba Itali, Andrea Guardini dari pasukan Farnese Vini-Selle Italia.
Selain Anuar, turut berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik pada peringkat kedua itu ialah pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) Mohd Zamri Salleh.
Sumber - Kosmo! & Bernama
No comments:
Post a Comment