Tuesday, February 14, 2012

Prestasi Azizul Tidak Membimbangkan - Shabery Cheek

Kegagalan pelumba trek basikal negara Azizulhasni Awang meraih emas dalam acara kegemarannya, keirin, pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) bukan sesuatu yang membimbangkan memandangkan pelumba harapan negara itu masih lagi dalam proses pemulihan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, selain perlu memulihkan kecederaan kaki yang dialaminya pelumba yang diberi gelaran The Pocketrocketman itu juga masih dalam proses untuk membina kembali stamina dan kekuatan mentalnya.

"Saya rasa dia (Azizulhasni) masih dalam trek yang betul untuk layak ke Sukan Olimpik, jadi, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan berhubung pretasinya ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Kewartawanan Kawat-Exxon Mobil 2011 di Kuala Terengganu.

Shabery Cheek turut memuji persembahan dua lagi pelumba negara iaitu Josiah Ng dan Fatehah Mustapa yang mempamerkan aksi cemerlang dalam kejohanan yang sama.
"Saya kira ini pencapaian yang baik dan berharap mereka juga dapat mengutip mata sebanyak mungkin bagi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

"Kejayaan mereka juga secara tidak langsung memberi inspirasi kepada pelumba-pelumba baru negara yang sedang meningkat naik ketika ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment