Saturday, February 4, 2012

Rakyat Mesti Yakin Dengan Kemampuan Kerajaan BN - PM

Najib menyampaikan bantuan kerusi roda kepada penerima Dun Batu Buruk, Kuala Terengganu pada majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Batu Burok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman, Kuala Terengganu petang ini. - Gambar oleh Zulkipli Putra.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat mesti yakin dengan kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus membela kebajikan mereka dan membangunkan negara ini sehingga mencapai status negara maju lapan tahun lagi pada 2020.

Beliau berkata kerajaan sudah mempunyai agenda besar untuk memajukan rakyat dan negara, yang bukan suatu agenda yang direka mengikut sesuka hati tetapi agenda itu dibuat dengan perancangan yang begitu tersusun.

"Impian teragung kita, biarlah dalam lapan tahun lagi negara Malaysia akan dimartabatkan sebagai negara maju berpendapatan tinggi. Kita akan menjadi negara Islam pertama di dunia boleh mencapai negara maju," katanya.

Perdana Menteri berkata rakyat perlu terus memberi mandat kepada BN untuk memerintah negara ini, supaya usaha membawa tranformasi yang lebih besar kepada landskap negara mencapai kejayaan.

Najib yang juga Presiden Umno turut membidas PAS yang hanya pandai menabur janji untuk meraih sokongan rakyat padahal pemimpin parti itu hanya menipu rakyat.

Beliau mempersoalkan apakah yang dilakukan oleh PAS ketika berpeluang memerintah Terengganu dari 1999 hingga 2004, kerana tidak kelihatan perubahan yang mereka lakukan.

Menurutnya, BN berjuang di atas landaran benar dan apa yang dilakukan kerajaan selama ini adalah lebih Islamik daripada Pas yang menggunakan slogan membangun bersama Islam.

Perdana Menteri berkata BN memberi tumpuan lebih kepada rakyat, sedangkan Pas hanya menumpukan kepada ceramah yang mengelirukan rakyat.

”Pas ni memang kuat lebong (tipu), mereka bawa matlamat politik yang menghalalkan cara dan sekarang untuk raih undi orang bukan Islam mereka tukar pula kepada negara berkebajikan,” katanya di depan kira-kira 10,000 rakyat di majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat DUN Batu Burok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman, Kuala Terengganu petang semalam.

Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu, turut menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi DUN Batu Burok berjumlah RM3.6 juta, DUN Ladang (RM1.4 juta), DUN Wakaf Mempelam (RM2.7 juta) dan DUN Bandar (RM2 juta).

Perdana Menteri berkata, contoh terbaru, Pas telah buang ahlinya, Datuk Dr. Hasan Ali semata-mata kerana berjuang menyelamatkan akidah umat Islam, tapi kerana tak sebulu dengan pemimpinnya dia diketepikan.

“BN sentiasa sentiasa mendahulukan rakyat, tolong mereka yang susah malah buat apa yang digalakkan dalam Islam membantu golongan yang tidak bernasib baik,” katanya.

Perdana Menteri berharap rakyat Terengganu tidak akan membiarkan peristiwa buruk (ketika PAS perintah Terengganu) kembali berulang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Najib berharap DUN Batu Burok yang dikuasai PAS sejak 26 tahun lalu, dan juga DUN lain yang kini dikuasai pembangkang, akan dirampas kembali oleh BN pada PRU-13.

Perdana Menteri pada majlis itu turut menyampaikan bantuan kepada 50 orang penerima Yayasan Tekun berjumlah RM503,000 dan sembilan kerusi roda serta 20 orang menerima bantuan kebajikan masyarakat.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

No comments:

Post a Comment