Ahmad Said meninjau keadaan jalan yang rosak akibat hakisan di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu, baru-baru ini.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM32 juta tahun ini bagi membantu rakyat miskin di Terengganu, termasuk membaik pulih kediaman dan masalah atap bocor.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, rumah kediaman rakyat miskin akan diperbaiki, termasuk menggantikan atap yang rosak agar kehidupan mereka lebih selesa.
Menurutnya, jumlah peruntukan itu diagihkan oleh kerajaan negeri kepada kesemua 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan setiap DUN menerima RM1 juta.
“Tahun lalu kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 untuk tujuan yang sama dan untuk tahun ini jumlah itu kita tambah lagi RM500,000 menjadikan RM1 juta bagi setiap DUN.
“Kami percaya menerusi bantuan yang diperkenalkan dua tahun lalu tiada lagi masalah rumah rosak dan atap bocor yang dihadapi oleh rakyat dalam tempoh lima tahun lagi,” katanya.
Beliau berucap pada majlis perjumpaan Menteri Besar bersama Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Daerah Setiu di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah dekat Setiu, kelmarin.
Hadir sama Ahli Parlimen Setiu, Datuk Mohd. Jidin Shafee; Exco kerajaan negeri, Asha’ari Idris; ADUN Permaisuri, Abdul Halim Jusoh; Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Ishamudin Hashim.
Majlis perjumpaan pemimpin masyarakat itu diadakan sempena lawatan kerja Menteri Besar ke Setiu, termasuk meninjau tapak Pasar Pekan Seri Langkap dan Projek Besut/Setiu Agropolitan (BSA) di Kampung Panchur Berderu, Sungai Tong.
Rombongan itu turut melawat lokasi lain seperti meninjau masalah hakisan Pantai Rhu Sepuluh dan Ladang Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu (iSHARP) di Kampung Nyatuh.
Ahmad Said berkata, kerajaan negeri juga menyediakan RM1.5 juta bagi dua DUN iaitu Langkap dan Permaisuri untuk membina jalan baru serta membaik pulih jalan raya yang rosak di kawasan itu.
Kata beliau, pihaknya akan membelanjakan kira-kira RM6 juta untuk membina sebuah pasar baharu dua tingkat di pekan Seri Langkap.
“Di samping itu kita juga peruntukkan RM2 juta untuk pembinaan sistem pengaliran di Beris Tok Ku dan RM200,000 bagi menaik taraf jalan di Kampung Rhu Sepuluh yang dilanda hakisan pantai baru-baru ini,” ujarnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment