Jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris kecewa dengan keputusan kurang memuaskan Terengganu apabila sekadar seri 1-1 dengan Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Beliau berkata, keputusan tersebut sepatutnya boleh diatasi sekiranya para pemain Terengganu tidak lalai setelah mengatasi 1-0 pada babak pertama.
Beliau berkata, pemain Terengganu banyak mengikut rentak permainan perlahan pasukan Kedah membuatkan semua percaturan yang dirancang tidak menjadi.
"Saya terkilan kehilangan dua mata menyebabkan peluang Terengganu untuk membaiki kedudukan tidak kesampaian,” katanya kepada pemberita.
Pengurus pasukan, Che Mat Jusoh pula berkata, Terengganu tidak pernah menang apabila menentang Kedah dalam Liga Super sejak tiga tahun lalu.
Baginya keputusan seri dengan Kedah malam tadi sudah memadai.
Beliau berkata, Kedah bermain baik terutamanya pada babak kedua menyebabkan mereka memperoleh gol penyamaan.
Katanya, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan pasukan Terengganu walaupun kadang-kadang berlaku salah faham semasa mereka di tengah padang.
Menyentuh mengenai prestasi Terengganu ketika menentang Kedah, Che Mat yang juga pengurus pasukan berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan perlawanan malam itu.
“Biarpun kita agak longgar di bahagian pertahanan kerana ketiadaan Mazuki (Yusof), saya tetap berpuas hati kerana mampu seri memandangkan tahun ini masuk tahun ketiga kita tak pernah menang dengan Kedah dalam Liga Super,” katanya.
Pada masa yang sama, Che Mat juga menolak spekulasi berhubung seorang lagi pemain import Terengganu, Erison Da Silva Santos Carnietto yang dikatakan semakin kurang mendapat kepercayaan daripada jurulatih, Mat Zan Mat Aris kerana direhatkan dalam perlawanan itu.
“Saya nasihatkan kepada semua pihak agar jangan cepat buat penilaian mengenai masa depan pemain itu.
“Tak semestinya dia tidak diturunkan sebab persembahan dia tak bagus sebab masa lawan Singapura (Lions XII) dulu, dia main bagus. Ini mungkin satu strategi,” ujar beliau.
Ditanya mengenai persiapan menghadapi kejohanan Piala AFC yang bermula bulan depan pula, Che Mat memberitahu, setakat ini pasukannya sudah bersedia untuk bersaing dalam kejohanan peringkat Asia Tenggara itu.
“Persiapan kita sama saja. Tidak ada perbezaannya. Setakat ni, inilah pemain-pemain kita (yang akan membawa cabaran Terengganu) dalam kejohanan tersebut dan kita sudah bersedia sepenuhnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment