Wednesday, February 15, 2012
RTM Terus Jadi Penyiar Rasmi LTdL 2012
Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi menjadi penyiar rasmi perlumbaan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun ini yang akan berlangsung dari 24 Februari hingga 4 Mac ini.
Melalui persefahaman kerjasama antara penganjur LTdL dan RTM, RTM bakal menghasilkan keseluruhan produksi televisyen LTdL edisi ke-17 dan akan membawa siaran secara langsung bagi setiap peringkat yang akan bermula dari Putrajaya dan berakhir di Kuala Terengganu.
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed, dia berbangga kerana RTM terus menjadi penyiar rasmi kepada kejohanan berbasikal yang dianggap antara paling berprestij di Asia.
''Dari rekod LTdL semenjak 1996, hanya tiga tahun sahaja iaitu pada tahun 2007, 2008 dan 2010 RTM tidak menjadi penyiar, ini menunjukkan kredibiliti RTM sebagai penyiar sukan yang masih kekal disegani di negara ini.
''Bagi pihak KBS, kerjasama ini memberi manfaat kerana segala perbelanjaan produksi televisyen dan penyiarannya akan kembali kepada kerajaan iaitu kepada Kementerian Penerangan sendiri, " katanya pada majlis sidang pelantikan RTM sebagai hos penyiar LTdL 2012 di Angkasapuri, semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamarudin Siaraf, Ketua Pengarah RTM, Datuk Norhayati Ismail dan Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012, Emir Abdul Jalal.
Bagi Kamarudin, dia memberitahu siaran langsung pada tahun ini akan memberikan lebih kepuasan kepada peminat sukan berbasikal.
''Perbezaan terbesar pada tahun ini kami akan membawa perlumbaan secara langsung pada 10 kilometer terakhir pada 10 peringkat perlumbaan berbanding lima kilometer pada perlumbaan-perlumbaan terdahulu.
''RTM juga akan menjemput bekas pelumba kebangsaan, Mohd. Musairi Musa sebagai tetamu jemputan pada setiap kali siaran langsung," katanya
No comments:
Post a Comment