Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mendapati sambutan terhadap program francais komuniti yang dilancar akhir tahun lepas sangat menggalakkan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDNKK, Datuk Daud Tahir berkata setakat ini pihaknya telah meluluskan 25 permohonan dengan jumlah pinjaman melebihi RM600,000.
"Setakat ini kita telah melancarkan program ini di Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pahang dan akan diikuti di Gopeng, Perak sempena perasmian Pusat Tranformasi Luar Bandar oleh Perdana Menteri pada 18 Feb ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program francais komuniti peringkat negeri yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar.
Daud berkata dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk tujuan program mikro francais di seluruh negara.
Menurut beliau pinjaman itu kebanyakannya adalah dalam bidang makanan dan minuman yang pinjamannya terbuka kepada semua kaum.
Beliau berkata program francais komuniti akan diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, yang dijangka berakhir penghujung tahun ini.
Dalam pada itu, A Rahman berkata kerajaan telah memperkenalkan satu kaedah sistem perniagaan francais dengan konsep sistem mikro francais.
Ia bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai usahawan terutamanya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk membantu mereka menambahkan pendapatan sampingan, katanya.
Beliau berkata program itu juga dapat memberikan pendedahan dan maklumat kepada masyarakat tentang wujudnya perniagaan francais yang menawarkan modal permulaan kurang daripada RM50,000.
Melalui skim mikro francais sebegini, ia bermatlamat untuk menggalakkan syarikat francais mewujudkan pakej francais supaya ia mampu disertai segenap lapisan masyarakat.
No comments:
Post a Comment