Ketua pasukan Sabah, Mohd Reithudin (kiri) diasak pemain Sime Darby, Patrick R Wleh dalam saingan Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang di Selayang, semalam. Sime Darby menewaskan Sabah 2-0.
Lawan T-Team pada pusingan kedua saingan Piala FA sudah diketahui, iaitu Pahang yang menewaskan Felda United 1-0 semalam.
Pahang melakukannya di Stadium Hang Jebat, Melaka hasil jaringan tunggal Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-39.
Satu lagi pasukan yang layak ialah Sime Darby FC yang mengatasi Sabah 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Sime Darby mengatasi Sabah 2-0 dengan kedua-dua gol dijaringkan pada separuh masa pertama menerusi Mohd Shazlan Alias pada minit ke-40 dan pemain import Patrick Ronaldinho Wleh lima minit kemudian.
Sime Darby pula akan berdepan dengan pasukan USM FC pada perlawanan pusingan kedua pada 10 Mac nanti.
Sementara itu Utusan Malaysia melaporkan, misi penyandang juara Piala FA tahun lalu Terengganu untuk mempertahankan kejuaraan berada pada landasan terbaik selepas menang besar ke atas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada perlawanan pembuka tirai di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, kelmarin.
Pusingan kedua bakal menyaksikan Terengganu menentang Perak yang berjaya mengetepikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0.
Hakikatnya Terengganu melangkah mudah ke pusingan kedua saingan Piala FA tetapi bakal berdepan cabaran getir bertemu Perak selepas ini, selepas membelasah Polis 4-0 dalam saingan awal itu.
Ketika naib juara Kelantan dipaksa berhempas pulas sebelum menang 2-1 ke atas Sarawak ketika masa tambahan kecederaan, juara 2010 Negeri Sembilan pula terpaksa mengucap selamat tinggal lebih awal apabila dikejutkan Johor FC 1-2 di gelanggang sendiri.
Terengganu yang beraksi tanpa dua tonggak pertahanan Olimpik kebangsaan, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, memulakan langkah mempertahankan kejuaraan apabila penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Abdul Hadi Yahaya (gambar kanan) membuka tirai jaringan buat skuad Mat Zan Mat Aris pada minit ke-10 selepas menyempurnakan sepakan sudut Ismail Faruqi.
Abdul Manaf Mamat menambah dua gol untuk meletak Terengganu selesa di depan, mula-mula hasil umpanan cantik Abdul Hadi ke dalam kotak penalti yang mudah disudahi pada minit ke-38 sebelum menggegar sekali lagi pada minit ke-65.
Francis Forkey Doe memastikan Terengganu menang besar apabila melepasi benteng lawan sebelum menggelecek Al Husairi untuk gol keempat pada minit ke-80.
Pada pertemuan kelmarin, Terengganu lebih awal menemui sentuhan jaringan melalui ledakan Abdul Hadi Yahya seawal minit kesembilan memberikan kelebihan pada pasukan itu sebelum Abdul Manaf Mamat menambah jaringan pada minit ke-37 sehingga aksi separuh masa pertama tamat.
Benteng PDRM yang seolah-olah hilang arah pada separuh masa kedua, memberi kelebihan kepada skuad penyu apabila Abdul Manaf menambah koleksi golnya pada minit ke-65 sekali gus menyukarkan laluan PDRM menyaingi pasukan itu.
Percaturan Mat Zan memasukkan pemain import Francis Forkey Doe pada separuh masa kedua membuahkan hasil apabila penyerang yang pernah beraksi bersama kelab Al-Ahly dan New York Red Bulls itu berjaya menyumbang gol keempat Terengganu sehingga tamat aksi 90 minit.
Dalam pada itu, Mat Zan yang pernah membantu Terengganu muncul juara Piala Malaysia pada tahun 2001 mengakui perlawanan menentang PDRM memberi tekanan kepada pasukannya ekoran keputusan tidak memberangsangkan pada tiga perlawanan lalu.
Bagaimanapun, jurulatih itu melihat tanda positif pada anak didiknya yang bekerja keras mencipta ruang sehingga menjaringkan empat gol.
"Memang pada masa pertama kita sedikit ghairah menyebabkan pemain sering kehilangan posisi, namun babak separuh masa kedua pemain dilihat lebih berdisiplin dan pergerakan bola juga lancar. Kita harap momentum itu dapat dikekalkan pada aksi menentang Perak nanti," katanya.
Jurulatih skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris mengakui, pertembungan skuad penyu dan seladang dianggap misi membalas dendam ekoran kekalahan kepada pasukan itu awal musim.
"Memang kita akan membalas dendam pada aksi itu nanti tambahan ia merupakan pertemuan kalah mati dan pastinya akan menjadi perlawanan yang sengit kerana masing-masing memburu kemenangan.
"Kita ada kira-kira dua minggu untuk membuat persediaan untuk perlawanan seterusnya dan saya yakin anak buah saya mampu beraksi dengan baik menentang Perak," katanya.
No comments:
Post a Comment