Perpaduan rakyat khususnya umat Islam di Kemaman tidak dapat disangkal sesiapapun.
Penyertaan kira-kira 40,000 peserta pada perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kemaman 1433 Hijrah tahun ini sekaligus mencipta sejarah.
Ia antara perarakan terbesar pernah diadakan di negara ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Kijal, berkata penyertaan tersebut adalah diluar jangkaan penganjur.
Penyertaan yang begitu ramai setiap tahun memang menjadi tradisi perarakan seperti itu dan tahun lalu penyertaannya hampir 30,000 peserta.
Amat jelas, melalui penyertaan dan kesungguhan orang Islam di Kemaman menggambarkan program seumpama itu memenuhi matlamat selain dapat meningkatkan persefahaman dalam kalangan umat Islam di daerah tersebut.
“Program ini adalah usaha kita dalam menggembeling tenaga. Ia juga menjadi medan kepada setiap pasukan yang bertading menunjukkan kreativiti masing-masing dengan mereka sepanduk yang kreatif dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai perarakan bermula di Padang Astaka, Kemaman mengelilingi Bandar Chukai, Sabtu lalu.
Turut menyertai perarakan, Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; ADUN Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera.; ADUN Kemasik, Ir Rosli Othman; ADUN Air Putih Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan Pegawai Daerah, Mohamad Kamil Othman.
Ahmad Said berkata, program itu menjadikan Kemaman unik seterusnya meningkatkan perpaduan dalam kalangan umat Islam di negara ini serta di mata pelancong asing yang turut melahirkan rasa kagum dengan program keagamaan itu.
Peserta mula berkumpul di Padang Astaka seawal pukul 7 pagi dan perarakan dibahagikan kepada tiga laluan iaitu kategori dewasa sejauh tujuh kilometer, institusi pendidikan sejauh lima kilometer dan tabika dua kilometer mengelilingi Bandar Chukai.
No comments:
Post a Comment