Tuesday, February 14, 2012

Telinga Anggota Polis Hampir Putus Digigit Suspek Kes Tipu

Seorang anggota polis berpangkat konstabel berumur 23 tahun hampir putus telinga kiri akibat digigit seorang suspek yang cuba melarikan diri selepas ditahan kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata suspek lelaki berusia 34 tahun dari Batu Rakit ditahan atas kesalahan cuba menipu di sebuah kedai serbaneka di Kampung Pok Jin, tidak jauh dari tempat kejadian iaitu di Balai Polis Gong Badak.

Beliau berkata kejadian berlaku pada kira-kira 9 malam.

"Ketika mangsa sedang membuat laporan berhubung tangkapan itu, suspek memberitahu ingin muntah dan meminta supaya dia digari di bahagian depan.

"Ketika anggota berkenaan membawa dia ke bahagian depan balai, suspek terus menolak anggota polis berkenaan dan melarikan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Bagaimanapun, mangsa berjaya mengejar suspek yang lari keluar dari kawasan balai berkenaan sebelum berlaku pergelutan di kawasan semak, dan selain digigit telinganya, anggota polis berpangkat konstabel itu dicekik.

Keadaan itu menyebabkan mangsa terpaksa mengeluarkan pistol serta melepaskan dua das tembakan, dan satu daripadanya terkena kaki kiri suspek.

Manoharan berkata selepas tembakan dilepaskan, anggota polis itu dibantu rakannya dan mangsa serta suspek dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

"Akibat kejadian, anggota polis berkenaan, yang turut cedera di bahagian tangan, terpaksa menerima lapan jahitan pada bahagian telinganya," katanya sambil menambah mangsa dan suspek dilaporkan stabil dan masih dirawat di hospital berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 333 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan menghalang tugas penjawat awam.

No comments:

Post a Comment