Monday, February 13, 2012

ADUN Paka - “Saya Tidak Lari…Mana Memorandum Itu?”

Saiful Bahri pada bantahan kononnya Kerajaan Negeri 'rampas tanah' sekolah dan dibahagikan kepada JKKK di Paka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Zakaria@ Ariffin Abdullah menafikan beliau lari daripada menerima apa yang dikatakan memorandum daripada Jawatankuasa Bertindak Bagi Isu Rampasan Tanah Sekolah Rendah Agama Darul Bayan (SRIDB).

Menurut Zakaria yang dihubungi melalui telefon pagi ini, beliau tidak tahu pun mereka (kumpulan berdemo) itu akan ke pejabatnya semalam.

Saya memang ada di Residen kerana ada orang nak jumpa saya di situ...Tidak tahu pula mereka mahu menghantar memorandum,” katanya menafi keras tuduhan itu oleh Penasihat SRIDB, Satiful Bahri Mamat.

Dilaporkan lebih 1, 500 orang menyertai bantahan aman terhadap ‘rampasan tanah oleh Jawatankuasa Keselamatandan Kemajuan Kampung (JKKK)’ yang bermula di hadapan sekolah itu di Paka jam 12.30 tengahari, semalam.

Himpunan yang bermula dengan perarakan secara berjalan kaki sejauh kira-kira 1.5 kilometer, memakan masa selama 15 minit dan berakhir di hadapan Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Paka.

Selain disertai oleh pelajar,guru dan ibu bapa kelihatan juga beberapa kaitangan Petronas menyertai bantahan itu.

Saiful Bahri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu mendakwa melalui blognya, walaupun pejabat tersebut dibuka pada sebelah pagi tetapi apabila menyedari bahawa peserta demonstrasi berarak ke pejabat mereka lalu dengan segera pejabat tersebut ditutup.

Kata Saiful Bahri lagi, “Bahkan YB Zakaria selaku Adun Paka bertindak melarikan diri dan bersembunyi di Resident Resort, iaitu sebuah resort yang berhampiran.

“Amat malang apabila beliau takut untuk berhadapan dengan peserta demo tersebut untuk menerima memorandum bantahan. Apabila peserta telah bersurai barulah pada petang semalam mereka kembali berkumpul."

ADUN Paka itu menyatakan kesalnya kerana Saiful Bahri memfitnahnya dalam banyak perkara dan beliau tidak pernah lari daripada tanggungjawabnya.

“Inilah pembohongan pemimpin PAS terhadap saya, sedangkan hingga sekarang saya tidak menerimapun memorandum tersebut. Mana memorandum itu?” tanya beliau.

Pemimpin PAS itu disifatkan cuba membakar kemarahan rakyat dengan turut mengatakan Sekolah Darul Bayan itu akan dirobohkan.

“Kenapa nak dirobohkan sedangkan selama ini kerajaan negeri tidak pernah pun mengganggunya?” tanya beliau.

Pada bantahan itu mereka melaungkan slogan ‘hidup Islam’, ‘hancur kezaliman’ dan ‘kembalikan tanah sekolah kami’ pada bantahan.

Saiful Bahri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu itu mendakwa, pihaknya mendapat maklumat, tindakan oleh ADUN Paka mengelak menerima memorandum itu sebagai satu sabotaj terhadap kepimpinan Menteri Besar Terengganu yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Said.

Katanya, semua maklum bahawa Adun Paka dan Ahli Parlimen Dungun iaitu “Datuk” Matulidi” adalah team Idris Jusoh dan pastinya tidak sebulu dengan Pok Rosli selaku Ketua Bahagian Dungun yang penyokong kuat & selaku penasihat strategik MB.

Dengan isu yang ada sekarang, mereka boleh berlepas diri dan menyerahkan kepada Team Mat Said menjawab serta mempertahankan 5 orang JKKK yang diberi tanah tersebut dalam menghadapi persoalan dan bantahan orang-ramai. Dan sememangnya begitu kerana kelulusan akhir adalah ditangan pihak Exco selaku ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan MB sendiri,” katanya.

"Pihak rakyat menunggu respon pihak berkuasa khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Said Ahmad Said dalam memberi jawapan yang munasabah sebagai sebuah parti yang mewar-warkan sebagai Parti pembela rakyat, bangsa melayu & agama Islam.

“Apakah tindakan rampasan tanah Sekolah Agama ini mengambarkan tanda sebagai rakyat yang didahulukan?” tanya beliau.

Zakaria berharap polis akan mendedahkan sikap sebenar PAS dan mempertahankan bahawa tanah yang diberikan hak milik kepada lima penduduk di Paka adalah menurut peraturan pentadbiran negeri dan bukan merampas seperti dituduh oleh PAS.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata pagi ini polis masih menyiasat kes tersebut.

No comments:

Post a Comment