Terengganu Development Management Berhad (TDM), syarikat perladangan yang merupakan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, diarah menyediakan dana khas bagi graduan perubatan negeri itu melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata langkah itu bertujuan menampung kekurangan doktor pakar yang kritikal dalam semua bidang perubatan di negeri itu.
"Kita sasarkan akan membiayai kos pendidikan untuk 150 pelajar berbanding 40 orang sebelum ini. Setelah tamat pendidikan, kita harap mereka ini dapat berkhidmat sebagai doktor pakar di pusat perubatan milik kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Tabung Dana Khas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, semalam.
Kos perbelanjaan bagi seorang pelajar perubatan di Ireland adalah yang tertinggi setakat ini iaitu sebanyak RM1.5 juta diikuti Russia (RM400,000), Mesir (RM350,000) dan Indonesia (RM300,000).
No comments:
Post a Comment