Wednesday, February 29, 2012

Terengganu Sedia Hadapi Sukma Pahang Selepas Jalani Latihan Di Thailand

Selepas menjalani latihan dua minggu pertengahan bulan ini bersama sekolah sukan di Thailand, skuad sepak takraw Terengganu kini bersedia menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Kuantan, Pahang selama 10 hari mulai 7 Julai.

Pengerusi Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSTNT) Mohd Shapian Ali berkata rentak permainan pasukan itu kini dilihat semakin mantap.

"Mereka telah pulang ke tanah air Ahad lepas dan saya lihat ada sedikit peningkatan dari segi mutu permainan dan sebagainya," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Mohd Shapian berkata 19 pemain dan pegawai bukan sahaja menjalani latihan intensif malah turut mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang bekas-bekas pemain kebangsaan Thailand bagi memantapkan kemahiran sedia ada.

Katanya pemain-pemain berkenaan yang dibimbing bekas jurulatih sepak takraw kebangsaan Thailand, Vitayabontal diharap akan mempraktikkan segala ilmu yang dipelajari sepanjang dua minggu di Bangkok sebaik memasuki kem latihan di depoh JKR di Kuala Terengganu bermula minggu depan.

No comments:

Post a Comment