Penuntut yang ditangkap kerana menyalahgunakan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) akan dikenakan tindakan tegas termasuk dibuang universiti.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bagi mengawasi sebarang penyalahgunaan polis berpakaian preman akan ditempatkan di kedai buku.
“Mana-mana penuntut yang menyalahgunakan BB1M ini sekiranya ditangkap akan dibuang dari universiti,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Pengurusan Kolej Universiti Tati (Tatiuc) berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan BB1M yang diadakan di Dewan Fakulti Teknologi Elektrik dan Automasi, di Teluk Kalong, di Kemaman, semalam.
Hadir sama Rektor Tatiuc, Dr Mohd Rozailan Mamat @ Ibrahim.
Bagi memastikan penuntut Tatiuc tidak menyalahgunakan baucar terbabit, beliau sendiri akan memeriksa setiap buku yang dikunjungi penuntut.
Seramai 470 dari 1,427 penuntut Tatiuc menerima baucar tersebut untuk sesi penyerahan pertama itu dan selebihnya akan menerimanya pada majlis penyerahan seterusnya.
Sementara itu, penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Teknologi Mekatronik, Khalil Afif Md Zaini, 24, berkata, BB1M itu akan digunakan untuk membeli buku rujukan bagi projek tahun akhirnya nanti termasuk buku elektronik.
“Saya tidak akan sia-siakan pemberian bantuan seperti ini kerana ia amat bermakna buat penuntut apatah lagi bagi yang kurang berkemampuan,” katanya yang berasal dari Kerteh.
Dalam pada itu, menurut seorang lagi penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Teknologi Mekatronik, Mohd Fahmi Mustaqim Jaafar, 23, pemberian BB1M dapat meringankan beban penuntut untuk membeli buku rujukan kerana jika mahu diharapkan duit pinjaman tentunya tidak mencukupi.
“Saya perlukan banyak wang untuk membeli buku rujukan dan bersyukur dengan bantuan ini saya tidak pelru lagi bergantung kepada pinjaman semata-mata,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment