Mohid (dua dari kiri) ketika melancarkan Trofi Cabaran LTdL di Putrajaya semalam.
Buat pertama kalinya satu simbol baharu diperkenalkan pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) bagi edisi ke-17 yang akan berlangsung pada 24 Februari ini hingga 4 Mac depan.
Simbol tersebut iaitu trofi berbentuk burung helang akan diberikan kepada juara keseluruhan LTdL 2012 yang juga pemenang Jersi Kuning bermula pada edisi tahun ini dan ia akan dikenali sebagai Trofi Cabaran LTdL.
Trofi tersebut yang diilhamkan daripada ikon burung helang di Dataran Lang, Langkawi bukan sahaja merupakan suatu pengiktirafan terhadap asal usul perlumbaan LTdL ini diperkenalkan, malah juga suatu penghormatan terhadap pengasasnya iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed menjelaskan Trofi Cabaran LTdL ini adalah simbolik kepada pengukuhan imej dan identiti Langkawi pada perlumbaan berstatus 2.0 Hors itu.
“Trofi ini adalah suatu simbol melambangkan identiti Langkawi dalam LTdL dan ia akan diberi kan kepada juara keseluruhan perlumbaan berprestij ini pada hari terakhir nanti,” jelas Mohid pada Majlis Pengumuman Pasukan LTdL di Putrajaya semalam.
“Reka bentuk trofi ini di- ilhamkan daripada monumen burung helang di Dataran Lang yang menjadi mercu tanda Pulau Langkawi.
“Ia juga merupakan suatu pengiktirafan terhadap sumbangan Tun Dr. Mahathir, pengasas perlumbaan ini dan juga tokoh yang paling banyak memberi sumbangan kepada pembangunan sukan berbasikal di negara ini,” ujarnya.
Turut berlangsung dalam majlis itu ialah pengumuman 22 pasukan yang akan bersaing dalam LTdL 2012 yang bakal menyaksikan dua pasukan berstatus pro jelajah, tujuh pasukan pro benua, sembilan pasukan benua dan tiga pasukan kebangsaan.
Kosmo!
No comments:
Post a Comment