Saturday, March 31, 2012

4 Pelajar Jepun Seronok Berada Di Terengganu

Keramahan penduduk, makanan yang enak serta persekitaran yang menarik memikat sekumpulan 34 pelajar Jepun untuk berkunjung lagi ke Terengganu.

Seorang daripada mereka Okada Kazuya, 17, dari Hiroshima berkata banyak pengalaman menarik yang diperoleh sepanjang berada seminggu di negeri ini.


"Saya dapati persekitaran amat menarik dan orang di sini baik-baik. Semasa di sini saya belajar makan makanan tradisi seperti nasi dagang dan lain-lain... ada rasa pedas tetapi saya menggemarinya," katanya melalui jurubahasa Mohamad Nabil Mohamad Nasir.

Pelajar lelaki itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutupan Program Homestay Hippo Club Jepun anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kelab Antarabangsa Hiroshima di Kuala Lumpur oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu, semalam.

Seramai 34 pelajar Jepun yang terdiri daripada 19 pelajar lelaki dan 15 perempuan itu mengikuti program selama enam hari dengan berkampung di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1 di Kuala Terenggau.

Kazuya, pelajar sekolah menengah di Hiroshima berkata dia dan rakan-rakan dibawa melawat ke beberapa buah sekolah lain di sekitar bandar raya.

"Kami juga dibawa ke tempat-tempat yang menarik seperti Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam, Pasar Payang dan lain-lain," katanya.

Seorang lagi rakannya Yukino Iwasaki, 11, ketika ditemui berkata dia suka mengikuti program itu kerana dapat mengikuti pelbagai persembahan kebudayaan.

"Setiap sekolah yang saya lawati ada persembahan oleh pelajar dan persembahan berlainan antara satu sekolah dan sekolah yang lain," kata pelajar perempuan itu yang ingin tinggal lebih lama di Terengganu.

Sementara itu, Ahmad Said ketika berucap pada majlis itu berkata program itu menarik kerana boleh mengantarabangsakan pelajar di Terengganu.

"Kita juga kagum kerana Terengganu dipilih mengadakan program seumpama itu yang julung kali diadakan di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment