Saturday, March 31, 2012

Marang Terkenal Sebagai Destinasi Sukan Ekstrem

Kejohanan Drive Ride (DR) 4x4 Ranggok Antarabangsa akan disenaraikan dalam kalendar pelancongan Terengganu bermula tahun depan dalam usaha meningkatkan daya tarikan daerah ini sebagai sebuah destinasi sukan ekstrem antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said baru-baru ini berkata, kejohanan itu bakal dijadikan acara tahunan berdasarkan sambutan luar dugaan yang diterima dengan penglibatan membabitkan sehingga 1,250 orang peserta dari dalam dan luar negara.


Menurutnya, kejohanan itu memperlihatkan potensi sukan tersebut yang cukup besar dan litar sukan lasak Gong Cempedak seluas 60 hektar menjanjikan pengalaman yang mencabar.

Sehubungan itu, bagi menaik taraf kejohanan tersebut, beliau mempelawa Kelab 4x4 Ranggok Marang yang bertindak sebagai penganjur kejohanan berkenaan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan.

“Kita akan mengambil kira pelbagai aspek seperti prasarana penganjuran yang meliputi saiz litar agar diiktiraf di peringkat antarabangsa, mutu pe­ngadilan serta kemudahan tambahan termasuklah tempat duduk penonton dan ruang meletak kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup acara tiga hari itu di Gong Cempedak di sini, yang turut dihadiri oleh Penasihat eksekutif kejohanan itu, Datuk Razali Idris dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.

Kejohanan yang menawarkan hadiah berjumlah RM31,000 itu melibatkan empat disiplin iaitu perlumbaan Cubcross, Motor Endurance dan 4x4 serta acara kemuncak adalah cabaran pacuan empat roda, DR 4 x 4.

Acara itu yang disertai lapan kumpulan dimenangi Ranggok B, membawa pulang wang tunai RM10,000, Ranggok C di tempat kedua, RM7,000 dan tempat ketiga Ranggok F, RM5,000.

Sementara itu, kategori Pacuan Empat Roda pula, tempat pertama diungguli Kelab 4x4 Ranggok dengan membawa pulang tunai RM2,000, Kumpulan Padat di tempat kedua dengan tunai RM1,500 dan di tempat ketiga, Kumpulan Padat dengan tunai sebanyak RM1,000.

Manakala bagi perlumbaan Cubcross, tempat pertama kategori itu disandang Mohd Zulkifli Abdul Muttalib dengan meraih tunai RM1,000, kedua, Azwadi Mohamad RM600 dan ketiga, Mohd Hafizul Mustaqim Osman sebanyak RM400.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment