Matulidi Jusoh (kanan) menyambut ketibaan Ahmad Shabery Cheek serta rombongan berbasikal di kawasan Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun, kelmarin.
Sebanyak 45 projek kecil pembinaan dan pengubahsuaian prasarana membabitkan peruntukan kira-kira RM2 juta ditawarkan kepada kontraktor kelas F di daerah ini.
Ahli Parlimen Dungun, Datuk Matulidi Jusoh berkata, ia melibatkan kerja-kerja pembinaan longkang, melapisi jalan serta membaiki dan mengubah suai surau dan masjid.
Menurutnya, melalui peruntukan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) itu, setiap kontraktor ditawarkan kontrak kerja bernilai RM40,000 hingga RM50,000.
“Saya berharap agar semua kontraktor yang diberikan projek pembinaan itu dapat menyiapkan kerja mereka dengan sempurna dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan JPP,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyambut ketibaan rombongan berbasikal seramai 300 orang yang diketuai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ke daerah ini di Taman Rimba Bukit Bauk di Dungun semalam.
Menurutnya, projek secara undian itu perlu disiapkan kontraktor dengan sempurna supaya tidak timbul rungutan penduduk di kemudian hari.
“Sebelum ini rungutan sering timbul daripada penduduk seperti longkang tidak mengalir dengan sempurna, jalan cepat rosak dan sebagainya,” katanya.
Sehubungan itu juga Matulidi menegaskan, penyelia projek perlu memastikan kontraktor melaksanakan kerja dengan sempurna sebelum bayaran dibuat.
“Pihak JPP juga perlu turun padang memastikan kerja yang dilaksanakan itu betul-betul mengikut spesifikasi supaya tidak menjadi rungutan masyarakat setempat,” katanya.
Nak tahu cara-cara memasuki dan memenangi sebutharga kerajaan. Muat turun ebook Rahsia Menang Sebut Harga Kerajaan di sini http://www.sebutharga.com.my
ReplyDelete