Thursday, March 1, 2012

26 Nelayan Vietnam Didenda RM880,000

 Imbas kembali...gambar bot dan nelayan Vietnam yang ditahan di Kemaman baru-baru ini.

Gara-gara menangkap ikan diperairan negara serta menggunakan pengenalan palsu, seramai 26 nelayan Vietnam dikenakan hukuman denda RM880,000 oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu, semalam, setelah mengaku bersalah di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Dua tekong iaitu Nguyen Van Hiep dan Huynh Van Tuan masing-masing dikenakan denda RM50,000 atau berdepan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) dan Seksyen 14 (3) (b) Akta Perikanan 1985.

Manakala, 24 awak-awak dikenakan denda RM20,000 atau berdepan hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda tersebut bagi setiap pertudu-han mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 14(3)(b) Akta Perikanan 1985.

Mengikut fakta kes, kapal ronda Jabatan Perikanan Malaysia (P201) yang diketuai Mohd Sabri Mustafa (sebagai pengadu dalam kes ini) menahan dua kapal penangkapan ikan yang menggunakan nombor pengenalan sebagai KNF 7483 dan KNF 7484 di kedudukan garis Lintang 04 darjah 54.331 minit Utara dan Garis Bujur 103 darjah 54.915 minit Timur iaitu pada jarak 53 batu nautika dari Pantai Kuala Terengganu, Terengganu di dalam Perairan Perikanan Malaysia kira-kira jam 9 pagi pada 16 Februari lalu.



Ketika ditahan, didapati kapal penangkapan ikan menggunakan nombor pengenalan sebagai KNF 7483 dan KNF 7484 sedang menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa permit sah yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia mengikut Seksyen 19 Akta Perikanan 1985 dengan itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Selain itu, kedua-dua vessel itu juga didapati menggunakan huruf, nombor atau cara lain pengenalan suatu kapal penangkapan ikan yang lain dan dengan itu melakukan kesalahan mengikut Seksyen 13 (3) (b) dan Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25 (a) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Hasil pemeriksaan di dalam kedua-dua kapal terdapat 26 nelayan Vietnam dan kesemuanya ditangkap bersama barang kes serta dibawa ke Pangkalan Pusat Tahanan Vesel di Kemaman sebelum laporan dibuat di Balai Polis Kuala Terengganu.

Barang kes yang ditahan ialah dua kapal bernombor pendaftaran KNF 7483 dan KNF 7484, empat bidang pukat tunda, tiga gulung tali/kabel tunda, satu unit ‘navigation sounder’, satu unit amplifier, dua unit televisyen, dua unit kompas, dua unit radio set, satu unit GPS, satu unit bekalan kuasa, satu unit dapur, empat unit tong gas, 1,000 liter minyak diesel dan wang tunai hasil lelongan ikan campur RM10,000.

Selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa khas mahkamah menggunakan bahasa Vietnam, Majistret menjatuhkan hukuman berbeza terhadap tekong dan awak-awak mengikut dua seksyen pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Halimi Abu Hanip dari Cawangan Perundangan, Ibu Pejabat Perikanan Putrajaya, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

No comments:

Post a Comment