Friday, March 30, 2012

977 Mangsa Jenayah Pemerdagangan Manusia Diselamatkan Antara 2008 dan Mac 2012


Seramai 977 mangsa jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia telah berjaya diselamatkan dan mendapat Perintah Perlindungan Tetap (PO) sepanjang tahun 2008 hingga Mac ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wahab Mohd Yasin berkata daripada jumlah berkenaan golongan wanita masih merupakan mangsa tertinggi dalam jenayah itu.
Katanya berdasarkan Sekretariat Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), sehingga kini seramai 595 orang wanita berjaya diselamatkan manakala 260 orang terdiri daripada mangsa lelaki dan 122 orang kanak-kanak.

"Ia melibatkan pelbagai jenis kes termasuklah eksploitasi seks, perhambaan dan eksploitasi buruh tanpa dibayar gaji," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Kempen Kesedaran Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran Peringkat Negeri Terengganu di Taman Tamadun Islam (TTI), di Kuala Terengganu, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said serta isterinya, Toh Puan Norliza Mahmud.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang tempoh yang sama sebanyak 439 kes dan 621 tangkapan telah direkodkan dan disiasat oleh agensi-agensi penguat kuasa di seluruh negara.

Malah sebanyak 412 kes telah dituduh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 di mana sebanyak 64 kes telah selesai dan 78 kes telah disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun beliau berkata kes-kes berkaitan jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia di negara ini dapat dibendung dan diatasi dengan baik apabila negara kini berada pada tahap kedua (dalam pemerhatian) mengikut laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.

TIP merupakan senarai kedudukan negara dunia berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan orang dan penilaian dilaksanakan setiap tahun oleh jabatan itu.

"Pada tahun 2009, kita berada di tahap tiga (membimbangkan) bagaimanapun dengan penganjuran kempen besar-besaran yang dilaksanakan bagi mendidik masyarakat mengenai jenayah seumpama ini, ia dapat mengekang masalah ini daripada berleluasa," katanya.

No comments:

Post a Comment