Kegagalan skuad Terengganu memang mengecewakan rakyat Terengganu namun Menteri Besar optimis skuad Penyu mampu bangkit dalam perlawanan akan datang.
Kegagalan Skuad Penyu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri menentang kelab gergasi Hong Kong, Kitchee FC kelmarin mendapat reaksi Datuk Seri Ahmad Said semalam.
Menurut Ahmad Said, skuad kendalian Mat Zan Mat Aris perlu memperbaiki kelemahan yang ada termasuk dari segi percaturan permainan.
"Saya harap pihak pengurusan terutamanya jurulatih supaya mempelbagaikan formasi di atas padang dan bukan main 'one way' sahaja.
Sebab itu apabila kita main bola, kepala kena sentiasa hidup dan kena kreatif," katanya menjawab soalan pemberita pada sidang media, semalam.
Dalam perlawanan yang disaksikan kira-kira 10,000 penyokong itu, Terengganu tewas kepada Kitchee dengan keputusan 0-2.
Menurut laporan, Mat Zan mengakui kealpaan para pemain terutama pada bahagian pertahanan dan tengah menjadi punca Terengganu gagal menyaingi kehebatan kelab gergasi Hong Kong kelmarin.
Menurut Mat Zan, sikap alpa itu yang menyebabkan Terengganu kalah 0-2, sebenarnya telah bersarang di hati anak-anak buahnya sejak beberapa perlawanan Liga Malaysia sebelum ini.
"Saya akui ini kelemahan kita dan kita cuba untuk perbaiki kelemahan tersebut. Bagaimanapun, pemain masih terbawa-bawa dengan sikap itu sehingga kadangkala ia menjadi tabiat buruk kepada mereka.
Tapi saya yakin ia dapat kita baiki dalam perlawanan akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.
Berikutan kekalahan itu hasrat Terengganu menduduki tangga teratas Kumpulan F Piala AFC tidak kesampaian walaupun mulanya yakin menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri dan dalam cuaca panas terik.
No comments:
Post a Comment