Thursday, March 22, 2012

Tiada Paksaan Kepada Pemilik Premis Restoran Pohon Sijil Halal Malaysia

Tiada paksaan kepada pemilik premis makanan dalam aspek memohon pensijilan Halal dan mempamerkan Logo Halal Malaysia, kata Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Hakimah Mohd Yusoff.

Beliau berkata namun begitu premis yang mempunyai logo dan pensijilan halal itu akan mendapat faedah tersendiri apabila pengguna berasa yakin terhadap status halal dan keselamatan makanan dan perkhidmatan yang disediakan.


Katanya bagi premis yang mempamerkan Logo Halal Malaysia perlu dibuktikan dengan persijilan halal yang dikeluarkan oleh Jakim atau Majlis Agama dan jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Beliau berkata ini selaras dengan peruntukan dalam Akta Perihal Dagangan 2011 melalui perenggan 4(1) dan (2) Perintah Perihal (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang berkuatkuasa 1 Jan lepas.

"Mempamerkan logo halal dan penandaan halal yang tidak dapat dibuktikan dengan pensijilan Halal Malaysia dikeluarkan Jakim serta pihak berkuasa agama negeri-negeri adalah satu kesalahan kerana perbuatan itu memperdaya dan mengelirukan pengguna.

"Oleh itu isu membenarkan premis makanan mempamerkan logo halal tanpa pensijilan itu tidak berbangkit," katanya dalam satu kenyataan pada semalam.

Sehubungan itu beliau menasihati peniaga yang tidak mempunyai pensijilan halal agar tidak mempamerkan logo halal di premis mereka.

Beliau berkata Jakim dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersetuju supaya pemantauan dan penguatkuasaan persijilan tersebut kepada premis makanan dilaksanakan secara berperingkat.

"Buat masa ini Jakim dalam proses memberikan pendidikan dan nasihat kepada pengguna dan pemilik premis. Pemantauan dan penguatkuasaan secara berperingkat memberi peluang dan masa secukupnya kepada semua pengusaha premis makanan melaksana perubahan dan mendapatkan pensijilan Halal Malaysia," katanya.

1 comment:

  1. salahkah seorang penguatkuasa memberi arahan menukar bahan makanan yang meragukan di premis makanan yang tidak mempunyai sijil halal? adakah ianya memerlukan premis yang mempunyai sijil halal sahaja yang boleh ditegur ?

    ReplyDelete