Saturday, March 10, 2012

Bangunkan Tanah Terbiar Melalui Risda

Orang ramai yang mempunyai tanah kosong boleh memohon bantuan tanaman getah melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di bawah program Tanam Baru Komuniti Getah (TBKG).

Pengarah Risda Terengganu, Zakaria Mat Zin berkata, mana-mana pihak yang mempunyai tanah terbiar atau tidak diusahakan, boleh dibangunkan secara berkelompok dan pekebun diminta mengeluarkan getah dalam bentuk susu selepas ditoreh kelak.


Menurutnya, Risda tidak terhad kepada bantuan tanam semula getah tetapi turut membuka peluang kepada orang yang mempunyai tanah di satu-satu kawasan seluas 60 hektar pada tahun ini.

“Bagaimanapun kebun ini akan diuruskan oleh anak syarikat Risda atau koperasi setempat mahupun jawatankuasa yang ditubuhkan oleh pekebun sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Perasmian Kursus Pra Tanam Semula dan Majlis Penyerahan Bantuan Tanam Semula 2012 yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof di Pejabat Risda daerah di Kampung Raja.

Dalam pada itu beliau memberitahu, sebanyak RM2.03 juta diperuntukkan kerajaan melalui Risda untuk bantuan tanam semula getah kepada pekebun kecil dan kelapa sawit di Besut pada tahun ini.

Kata beliau, peruntukan itu disediakan bagi membiayai tanam semula tanaman komuniti itu untuk 220 hektar bagi memastikan pekebun kecil meningkatkan kualiti tanaman dan pendapatan.

Menurutnya, jumlah itu meningkat sebanyak 47.7 peratus berbanding 105 hektar tahun ini yang membabitkan peruntukan hanya sebanyak RM969,150.

“Peningkatan peruntukan pada tahun depan akan memberi lebih peluang kepada lebih ramai pekebun kecil getah dan sawit yang mempunyai tanaman yang sudah cukup tempoh untuk memohon tanam semula,” katanya.

Zakaria berkata, Risda menyalurkan bantuan sebanyak RM9,230 sehektar secara ansuran kepada pekebun getah atau sawit yang sudah mencapai tempoh untuk ditebang.

“Bagi petani yang memiliki kebun getah tua diminta berhubung dengan pihak Risda bagi mendapatkan bantuan melalui program ini,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment