Friday, March 9, 2012

Hadiah Cukup Bermakna Untuk Penjawat Awam - Pejabat SUK

 
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata pengumuman Perdana Menteri mengenai pembatalan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Skim Saraan Malaysia (SSM)yang ditambah baik adalah pilihan terbaik yang diberikan bagi penjawat awam.

"Kakitangan awam patut berpuas hati dengan apa yang diperjuangkan oleh CUEPACS sehingga Perdana Menteri sanggup membatalkan SBPA itu untuk memberi kepuasan kepada kakitangan kerajaan.

"Ini menunjukkan kerajaan semasa adalah kerajaan yang prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan serta mendengar masalah rakyat," katanya di Kemaman semalam.


Kenaikan itu pastinya menjadi  motivasi agar penjawat awam di negara ini dapat meningkatkan produktiviti negara ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020

Teganukita melaporkan, penjawat awam di Terengganu menyambut baik dan menganggap berita gembira yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak hari ini mengenai SBPA dibatalkan dan mengekalkan SSM yang ditambah baik melonjak momentum baru kepada sektor itu bagi memberi komitmen yang setimpal dan meningkatkan kualiti kerja masing-masing.

Malah, pengumuman pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional dan Kumpulan Pelaksana dari Gred 1 hingga Gred 54, bagi Kumpulan Gred Utama C,B,A (sembilan peratus), Gred Turus 3 dan 2 (lapan peratus) dan Gred Turus Satu dan Ketua Setiausaha Negara (tujuh peratus) membuktikan pucuk pimpinan sentiasa responsif dan komited terhadap kumpulan penjawat awam.

Ketua Penolong Setiausaha (Korporat) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu , Puan Afnida Alwi, berkata kenaikan yang dinikmati semua penjawat awam yang lebih telus dan adil itu pastinya suatu yang relevan dan mampu mengelakkan ketidakadilan dalam aspek gaji yang sering membelenggu kumpulan penjawat awam sebelum ini.

“Ini satu `hadiah’ cukup bermakna oleh pucuk pimpinan yang sering mendengar suara rakyat terutama penjawat awam yang menjadi nadi pembangunan dalam usaha memastikan mutu dan perkhidmatan golongan itu sentiasa mencapai tahap terbaik dan optimum,” katanya ketika dihubungi Teganukita, hari ini.

Sementara Penolong Pengarah (Usahawan dan IKS) Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Encik Nik Fahmi Nik Nordin, berkata penjawat awam perlu menerima keputusan kerajaan itu sebagai cabaran yang realistik untuk memberikan pulangan setimpal dengan apa yang diterima.

“Kenaikan gaji serta faedah sampingan kepada semua penjawat awam sesuatu yang perlu dilihat secara komprehensif yang menuntut kepada transformasi budaya kerja supaya sektor awam menterjemahkannya kepada pencapaian kerja yang lebih berdaya saing dan bermutu,” katanya.

Dalam pengumuman itu juga, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengkaji secara komprehensif sistem saraan untuk penjawat pada masa depan.

Selain itu, jadual gaji matriks yang dilaksanakan sekarang diubahsuai kepada gaji minimum-maksimum dengan kadar kenaikan RM80-RM320 bagi Gred 1-54 manakala gred bagi Jusa kekal mengikut kenaikan tahunan SSM.

Bagi Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA), Najib mengumumkan kenaikan kepada RM250 sebulan dari RM200 bagi kawasan B manakala bagi kawasan C dinaikkan kepada RM150 daripada RM100.

Sementara itu, penjawat awam yang telah mencapai tangga gaji maksima akan turut menikmati pelarasan gaji di bawah penambahbaikan SSM seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

"Mekanisma pelarasan dan butiran terperinci akan kita bincangkan dalam suruhanjaya yang ditubuhkan nanti," kata Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman semalam.

Najib semalam mengumumkan pembatalan skim SBPA dan mengembalikan SSM yang ditambah baik selain mengumumkan pelarasan gaji di antara tujuh peratus dan 13 peratus bagi penjawat awam mengikut gred.

Perdana Menteri juga mengumumkan penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam Malaysia, yang bukan sahaja melibatkan sistem saraan malah rupa bentuk perkhidmatan awam masa depan yang diperlukan negara.

Omar berterima kasih kepada Perdana Menteri bagi pihak penjawat awam di atas pengumuman tersebut dan meminta penjawat awam agar bersabar dengan pelaksanaan pelarasan gaji tersebut.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan pula berkata keputusan membatalkan SBPA dilihat sebagai tindakan bijaksana yang memberi keadilan kepada semua pihak.

"Mungkin ada pihak yang kurang puas hati dengan keputusan ini, namun kita perlu rasional bahawa kerajaan dalam masa yang sama tidak mampu memuaskan hati semua pihak," katanya.

No comments:

Post a Comment