Wednesday, March 7, 2012

Bekas Pegawai Tadbir Menang Kes Lawan Kerajaan Terengganu

Setelah lebih empat tahun berjuang, usaha seorang bekas Pegawai Tadbir Negeri untuk membuktikan bahawa pemecatannya oleh Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2008 adalah pemecatan yang salah (wrongfull dismissal), akhirnya berjaya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Mohd Yazid Mustafa semalam dalam keputusannya berkata, penamatan plaintif iaitu Wan Mohd Faizul Wan Abas, 37, sebagai Pegawai Tadbir Negeri N41 oleh pihak defenden pertama, iaitu Kerajaan Negeri Terengganu adalah tidak sah.


Plaintif, Wan Mohd Faizul menamakan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai defendan pertama dan Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri Terengganu sebagai defendan kedua manakala dia diwakili peguam, Fathi Aziz Abu Bakar manakala pihak defendan diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri, Rosmawati Husin.

Mohd Yazid ketika membaca keputusannya, memerintahkan agar plaintif diambil semula sebagai Pegawai Tadbir Negeri Gred N41 daripada tarikh penghakiman dan pengesahan plaintif dalam jawatannya sebagai Pegawai Tadbir Negeri tertakluk kepada Perintah Am.

Beliau juga turut memerintahkan agar defendan pertama membayar gaji tertunggak dan sebarang faedah yang dinikmati plaintif dari tarikh plaintif dipecat.

Memandangkan plaintif telah hadir dengan jayanya kursus induksi dan lulus peperiksaan perkhidmatan (Peperiksaan Undang-Undang Kerajaan) dalam tempoh lanjutan percubaan, plaintif juga dikecualikan untuk hadir kursus induksi dan peperiksaan bagi tujuan pengesahan dalam jawatan.

Manakala, permohonan pihak defendan untuk penangguhan pelaksanaan telah ditolak oleh mahkamah. Sementara itu, Wan Mohd Faizul yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kawasan Kuala Terengganu ketika ditemui berkata, dia amat bersyukur dengan keputusan yang dibuat dan mengharapkan kehidupannya akan kembali seperti sedia kala.

“Selepas ditamatkan perkhidmatan, saya rasa sangat tertekan apatah lagi ia menyebabkan saya menghadapi masalah kewangan selain dicari oleh peguam kerana tidak dapat membayar pinjaman dan sebagainya.

“Alhamdulillah, keputusan ini merupakan satu bukti bahawa hak saya dikembalikan dan maruah saya tertebus. Saya rasa ini satu pe-ngajaran kepada kerajaan sendiri supaya berhati-hati dan jangan ambil tindakan sewenang-wenangnya,” katanya.

Bapa kepada empat anak itu merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sebelum ini, beliau bertugas di Pejabat Tanah Besut selama setahun lebih bermula pada tahun 2001, sebelum menjadi Penolong Pengarah Urusetia Penerangan Negeri Terengganu.

Beliau kemudiannya bertugas di Pejabat Tanah Kemaman pada tahun 2004 selama setahun lebih, sebelum bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan dilantik sebagai Pegawai Tambah Sentara, sebelum dipecat pada tahun 2007, dikatakan atas dasar prestasi merosot.

No comments:

Post a Comment