Friday, March 2, 2012

BR1M Haram Satu Dakwaan Jahat - Muhyiddin

Ribuan penduduk setempat hadir pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik, Kuala Terengganu, semalam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Pas yang memberi gambaran kononnya pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 oleh kerajaan Pusat adalah haram, sebagai satu dakwaan jahat.

"Tujuan kerajaan buat begini ialah untuk membantu mengurangkan belanja rakyat yang kurang berkemampuan. Jadi apa yg diberikan oleh kerajaan itu halal. Halal bagi Umno, halal bagi orang PAS, halal bagi semua rakyat yang layak menerimanya.

 "Tapi kalau orang PAS kata haram, baik jangan terima, tapi kalau dalam majlis orang beri duit dia dulu yang naik pentas, bila hulur duit dia juga yang hulur tangan dulu. Jadi hukum halal haram dah tak ada bila naik pentas," katanya.
Beliau menyatakan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menganggap tindakan parti pembangkang itu sebagai membawa ajaran salah yang menyesatkan semata-mata mahu mengejar kepentingan politik.

"Duit RM500 ini adalah duit kerajaan. Duit kerajaan sebenarnya adalah duit rakyat yang diuruskan oleh kerajaan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memutuskan duit ini untuk rakyat. Duit rakyat diberi kepada rakyat, jadi hukumnya halallah, " katanya.

Beliau menyangkal dakwaan pembangkang kononnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah agenda Barisan Nasional untuk membeli undi rakyat.

Menurut Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN, dakwaan itu tidak berasas dan bermotifkan politik semata-mata.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan pimpinan negeri adalah antara 20,000 rakyat termasuk penerima bantuan yang diagihkan kerajaan negeri dan pusat termasuk penerima bantuan Sara Hidup Nelayan, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan Persekolahan Murid oleh kerajaan negeri.
 
Muhyiddin berkata amalan Pas yang mempertimbangkan sesuatu atas dasar politik dan bukan agama sebagaimana yang sering di suarakan mereka, membuktikan mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk meraih sokongan.

No comments:

Post a Comment