Saturday, March 31, 2012

Disondol Babi Hutan - Imam Masjid Terima Bantuan RM2,000

Mangsa yang cedera parah disondol babi hutan, Rosdi Mat Noh, 50, yang menerima lebih 30 jahitan pada kedua belah kakinya, menjadi penerima pertama Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas (TSBB) di daerah ini

Cek bantuan TSBB sebanyak RM2,000 itu disampaikan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Noor Hayati Zaman kepada Rosdi, yang juga merupakan Imam Masjid Mukim Bukit Parit di rumahnya di Kampung Bukit Parit di Pengkalan Berangan, semalam.


Noor Hayati berkata, TSSB ialah perkhidmatan bantuan kewangan JKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, yang bertujuan meringankan beban mangsa atau keluarga mangsa serangan pelbagai jenis binatang buas.

Menurutnya, bantuan maksimum sebanyak RM20,000 diberikan dalam kes membabitkan kematian atau hilang upaya kekal, manakala bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan akan ditentukan berdasarkan peratusan kategori kecederaan.

“Ramai masih belum mengetahui JKM juga menyediakan bantuan ini bagi membantu mangsa yang cedera diserang haiwan buas dan kita harap pendedahan ini akan dapat memberikan maklumat berguna kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Rosdi berkata, dia amat bersyukur dengan bantuan diterima sebanyak RM2,000 itu walaupun mengakui masih trauma dengan kejadian menimpa dirinya ketika berada di kebun kelapa sawit tidak jauh dari rumahnya pada 17 Disember lalu.

Menurutnya, dia seolah-olah seperti mati hidup semula apabila sebaik turun dari motosikal dinaikinya di kebun kelapa sawit itu, dia tiba-tiba diserang seekor babi hutan yang ganas.

“Syukur saya terselamat dalam kejadian itu walaupun mengalami luka teruk sehingga kesan parutnya masih dapat dilihat sehingga ke hari ini. Keadaan saya juga lebih stabil malah dapat berjalan seperti biasa selepas menerima rawatan ini,” katanya.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment