Saturday, March 31, 2012

Hariff, Fatehah & Azizulhasni DiHarap Cemerlang Pada UTCWC Melbourne

Azizulhasni yang mewakili Malaysia padaa acara keirin dan pecut di Melbourne.
Skuad trek berbasikal negara tidak menyasarkan sebarang pingat pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI (UTCWC) 2012 di Melbourne minggu depan.

Ini kerana mereka mahu memberi tumpuan kepada misi penting pada Sukan Olimpik 2012 London, Ogos nanti.


Meskipun Malaysia berpotensi memenangi kilauan pingat di UTCWC menerusi jaguh pecut negara, Azizulhasni Awang dan pemenang pingat emas Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Josiah Ng, pengurus skuad trek kebangsaan, Datuk Naim Mohamad bagaimanapun menjelaskan, misi mereka di Melbourne kali ini hanyalah untuk layak ke final.

Jelas Naim, ini kerana Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mahu memastikan kesemua pelumba negara mencapai kemuncak prestasi masing-masing di London dalam usaha membawa pulang kilauan emas pertama buat negara pada temasya sukan terbesar di dunia itu nanti.

Malaysia akan menghantar lapan pelumba bagi menyertai lapan acara pada UTCWC yang bermula pada 4 hingga 8 April ini. Lapan pelumba tersebut ialah Azizulhasni (keirin dan pecut), Josiah Ng (keirin), Mohd. Edrus Md Yunos (keirin, pecut, 1km ujian masa individu), Muhd. Arfy Qhairant Amran (gambar kiri), Mohd. Fattah Amri Zaid, Malek Marcus McCrone (pecut berpasukan), Mohd. Harrif Salleh (scratch) dan Fatehah Mustapa (keirin, pecut, ujian masa individu wanita).

Pada kejohanan edisi tahun lalu di Apeldoorn, Belanda, skuad negara gagal membawa pulang sebarang pingat biarpun dua tahun sebelum ini pernah meraih pingat perak menerusi Azizulhasni dalam acara keirin (2009 dan 2010) dan Mohd. Rizal Tisin memperoleh gangsa dalam acara 1km ujian masa (2009).


Sumber - Kosmo!


No comments:

Post a Comment